BATU PAHAT, 12 Sept 2021 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) hari ini melancarkan Visi, Misi dan Hala Tujunya yang baharu bagi merealisasikan hasrat untuk menjadi sebuah universiti teknopreneur bertaraf global serta berupaya melahirkan tenaga kerja mahir selari dengan keperluan industri.

Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Sri Ibrahim Ahmad yang diadakan secara langsung melalui saluran Youtube UTHM TV.

UTHM meletakkan visi baharunya iaitu “Menjadi universiti teknikal global dalam teknologi lestari dan pengangkutan.”Manakala misi baharunya pula ke arah “Menyediakan penyelesaian teknikal untuk keperluan industri dan komuniti berasaskan paradigma tauhid.”

UTHM juga menetapkan Hala Tuju baharu iaitu menjadi Global Technopreneur University menjelang tahun 2030 (GTU 2030).

Dato’ Sri Ibrahim dalam ucapan pelancarannya berkata UTHM akan meneruskan fokusnya dalam menghasilkan graduan profesional seperti mana yang telah digariskan dalam falsafah pendidikan universiti iaitu Pendidikan dan latihan UTHM berteraskan paradigma tauhid bagi menghasilkan graduan kompeten, profesional dan berdaya keusahawanan dipacu teknologi termaju untuk pembangunan sejagat.

Katanya strategi universiti ke arah “Global Technopreneur” adalah merupakan satu manifesto untuk melahirkan graduan UTHM di peringkat antarabangsa yang berpengetahuan dan berkemahiran terutama dalam bidang sains dan teknologi.

“UTHM akan memastikan kualiti serta kaedah pembelajaran dan pengajaran sentiasa mematuhi piawai antarabangsa.

“Pendigitalan institusi, peningkatan bakat dan kecekapan operasi universiti menjadi tulang belakang dalam pelan strategik universiti ini agar selari dengan perkembangan semasa dan masa hadapan dunia,” katanya.

Beliau turut menyeru warga UTHM untuk bersama-sama menghayati dan melaksanakan pelan tindakan yang telah digariskan oleh universiti demi memastikan wawasan GTU 2030 dapat direalisasikan.