Pihak Malaysia Timber Council (MTC) dan Penang Furniture & Timber Industry Association (PFTIA) telah bekerjasama menghasilkan ‘Giant Chair’ untuk diserahkan kepada pihak Teaching Factory Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Penyerahan kerusi tersebut telah dibuat dalam satu majlis ringkas yang telah diadakan pada 21 September lalu mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Menurut Pengarah Teaching Factory UTHM, Profesor Dr. Abdul Talib Bon kerusi ini adalah inisiatif perbincangan antara pihak Teaching Factory (TF) dengan Malaysia Timber Council (MTC) untuk menonjolkan satu trademark di TF  berkonsepkan “kerusi gergasi.”

“Ia dijangka akan menjadi tumpuan utama kepada TF, pada masa yang sama akan menjadi model pembelajaran dan rujukan kepada pelajar-pelajar di UTHM,” katanya.

Tambah beliau Giant Chair dibangunkan oleh syarikat United Woodwork & Construction (M) Sdn. Bhd. berpusat di butterworth, Pulau Pinang. Syarikat ini adalah ahli kepada persatuan perabot utara tanah air iaitu PFTIA yang mempunyai lebih 400 keahlian.

“Pembuatan kerusi gergasi ini adalah hasil dari kerja tangan bertaraf dunia dua beradik pemilik syarikat United Woodwork & Construction, Mah Kong Yeow dan Mah Kong Weng.

“Kerusi gergasi ini  berketinggian19 kaki,8.2 inci dan mempunyai kelebaran 4 kaki, 11 inci dan 8 kaki, 2.3 inci panjang.

“Dengan keberatan hampir satu tan, pemasangan kerusi ini memerlukan tenaga kerja seramai lima orang dengan menggunakan kayu keras spesis Nyatoh sepenuhnya sebagai bahan utama dan teknik Glulam (laminasi glu) untuk sambungan,” jelas beliau.

Salah satu objektif penubuhan Teaching Factory UTHM adalah untuk mengeratkan hubungan kerjasama universiti dengan pihak industri perabot dan perkayuan.

Sebelum ini pihak universiti telah berkerjasama dengan industri melalui penganjuran program seperti penyeliaan dan penilai projek sarjana muda pelajar, penempatan latihan industri pelajar, penyelidikan dan pembangunan bersama industri serta kolaborasi dalam reka bentuk perabot

“Adanya Giant Chair di Teaching Factory UTHM ini diharap akan menjadi inspirasi kepada pensyarah dan pelajar untuk meningkatkan pengetahuan mereka berkaitan dengan teknologi perkayuan dan reka bentuk terkini dalam reka cipta perabot yang futuristik ini.

“Kerjasama seumpama ini juga diharap dapat diteruskan lagi untuk program lain terutama berkaitan penempatan pelajar untuk latihan industri serta dapat membuka peluang kepada graduan UTHM bekerja di industri-industri perabot di bawah PFTIA di seluruh negeri Pulau Pinang,” katanya.

 

 

 

 

Disediakan oleh:

 *Profesor Dr. Abdul Talib Bon

Pengarah Teaching Factory UTHM

 *Ts Abdullah Al Rashid Ab Hamid

Pengurus Centre for Technology (FiT) UTHM

 *Mohd Hasni Chumiran

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan UTHM