Oleh Dr. Ahmad Hamdan Ariffin
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah meletakkan bidang aeroangkasa sebagai salah satu elemen dalam bidang tujah universiti iaitu Pengangkutan dan Teknologi Lestari. Dron yang berkeupayaan untuk terbang dengan kawalan jauh atau terbang sendiri tanpa pemandu merupakan salah satu cabang di bidang aeroangkasa yang telah mendapat perhatian dunia.
Pembangunan teknologi dron di UTHM telah dibuktikan dengan usaha membina dron kargo yang mampu mengangkat beban sehingga 180kg. UTHM juga sebelum ini telah membangunkan dron Model Pinexri-20 khusus untuk aktiviti pertanian nanas.
Penyelidikan membangunkan bidang ini bukan sahaja akan memberi manfaat kepada industri malahan kepada komuniti. Industri mendapat manfaat dari beberapa aspek seperti mobiliti, ketepatan dan kecekapan.
Secara tidak langsung, teknologi dron telah mencipta satu peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat dan memupuk pengetahuan yang lebih tinggi selaras dengan hasrat Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan pembinaan Revolusi Industri 4.0.
Bagi menjayakan hasrat ini, sebuah Pusat Penyelidikan telah ditubuhkan di Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, UTHM iaitu Research Center for Unmanned Vehicles (ReCUV). ReCUV akan memberi tumpuan kepada pembinaan kepakaran, penyelidikan, pembangunan produk, perundingan dan komersialisasi dalam beberapa aspek.
Aspek tersebut merangkumi bidang kawalan dan instrumentasi sistem kenderaan tanpa pemandu di bidang aeroangkasa dan aplikasinya, reka bentuk dan pembuatan sistem kenderaan tanpa pemandu di bidang aeroangkasa dan aplikasinya, polisi dan peraturan sistem kenderaan tanpa pemandu di bidang aeroangkasa dan aplikasinya, pengurusan trafik udara di bidang aeroangkasa dan aplikasinya serta bidang-bidang terkini yang melibatkan sistem kenderaan tanpa pemandu di bidang aeroangkasa dan aplikasinya
Komitmen untuk memperkasakan kepakaran dalam bidang dron ini turut diterjemahkan melalui jalinan kerjasama dengan pakar dari negara lain.
Pada 8 Julai 2021 lalu, UTHM telah mewakili Malaysia menyertai forum yang bertajuk The Future of International Collaboration between Malaysia, Turkey and Nigeria on Drone Technology.
Forum antarabangsa yang melibatkan negara Turki dan Nigeria telah dirangka sebagai sebuah platform untuk berkongsi kajian dan teknologi terkini dron di negara Malaysia-Turki-Nigeria khususnya yang dihasilkan oleh institusi masing-masing.
Altinbas Universiti menjadi wakil kepada negara Turki manakala National Space Research and Development Agency (NASRDA) menjadi wakil untuk negara Nigeria.
Idea pelaksanaan program ini merupakan cetusan daripada memorandum persefahaman antara UTHM dan Altinbas Universiti yang telah dimeterai pada tahun 2020 lalu. Pembangunan teknologi kenderaan tanpa pemandu telah menjadi asas kepada jalinan antara dua buah universiti ini.
Kejayaan menghubungkan wakil negara Nigeria juga telah menarik minat negara tersebut untuk menandatangani Memorandum Persefahaman bersama pada masa akan datang.
Penganjuran forum antarabangsa ini telah membina satu hubungan rapat antara tiga negara dalam bidang dron yang akan meliputi aspek penyelidikan, pembangunan, komersialisasi serta pertukaran pelajar dan staf.
Kejayaan penganjuran program ini merupakan tanggungjawab besar kepada ReCUV dalam meletakkan UTHM sebagai jaguh dalam bidang dron melibatkan aspek penyediaan teknologi, penyediaan sumber manusia di bidang TVET dan kemudahan penyelidikan yang bertaraf antarabangsa.
*Penulis merupakan Ketua Research Center for Unmanned Vehicles (ReCUV)
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)