Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bersidang pada tahun 2014 telah mengisytiharkan tarikh 15 Julai sebagai Hari Kemahiran Belia Sedunia dan disambut pada setiap tahun. Sambutan ini diraikan bagi mempamerkan keperihatinan dunia terhadap pengembangan kemahiran teknikal dan vokasional kepada golongan belia. Ini termasuklah kemampuan mereka untuk mengakses pendidikan serta latihan teknik dan vokasional dengan kos yang berpatutan dan berkualiti.

Tema sambutan Hari Kemahiran Belia Sedunia pada tahun 2021 ini memberi perhatian kepada aspek daya tahan dan kreativiti belia menghadapi krisis dan pesediaan penyedia latihan teknik dan vokasional dalam menyesuaikan model penyampaian pembelajaran mereka ketika era pendamik ini.

Kesan penularan wabak Covid-19 telah menyebabkan kemelesatan ekonomi dunia, krisis kesihatan global, sekatan pergerakan manusia, keterbatasan akses kepada pendidikan dan pelbagai masalah lain.

Belia merupakan antara golongan yang terkesan dengan pandemik ini. Masa depan mereka akan menjadi tidak menentu untuk beberapa tahun yang akan datang sekiranya tidak ada persediaan yang pro-aktif dilakukan dari sekarang.

Dengan keterbatasan untuk mengakses pendidikan dan latihan kemahiran, golongan belia akan menghadapi masalah dalam menyediakan diri mereka untuk menghadapi dunia pekerjaan mahupun kemampuan kendiri dalam mencari sumber pendapatan.

Kemelesetan ekonomi telah menyebabkan peluang pekerjaan menjadi terhad, ditambah pula peningkatan jumlah pengangguran yang semakin membimbangkan. Menurut perangkaan terkini Statistik Tenaga Buruh oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), pengangguran di Malaysia berada pada kadar 4.6 peratus atau berjumlah 742,700 orang pada April 2021. Dengan jumlah kes Covid-19 yang terus meningkat pada masa ini, dijangkakan jumlah pengangguran ini akan terus meningkat. Kemuncupan ekonomi akan menjadikan majikan lebih berhati-hati dalam mengambil pekerja serta pemberian upah yang minima.

Sudah tiba masanya Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) menjadi pilihan utama para belia dalam mempersiapkan diri mereka untuk masa depan. TVET telah terbukti mampu melahirkan seorang individu yang berkemahiran, terlatih dan berbudaya usahawan. Elemen-elemen ini berupaya menjadikan seseorang belia itu lebih berdikari dan mampu menyesuaikan diri dalam suasana kerjaya yang mencabar.

Para belia di Malaysia agak beruntung kerana peluang untuk mengikuti aliran TVET ini sangat terbuka luas. Pada ketika ini terdapat lebih 1,300 institusi TVET di seluruh negara. Program-program TVET ini dikendalikan di bawah skop pelbagai kementerian antaranya Sumber Manusia, Pendidikan, Belia dan Sukan, Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kerja Raya serta Pertanian dan Industri Asas Tani.

Persepsi yang mengatakan TVET adalah lorongan pendidikan kelas kedua sudah tidak relevan lagi. Dalam hal ini ibu bapa dan guru kaunseling sekolah memainkan peranan yang sangat penting dalam menasihati anak-anak dan pelajar terhadap kelebihan TVET serta laluan pendidikan yang bersesuaian dengan pencapaian peperiksaan mereka. Bersempena sambutan Hari Kemahiran Belia Sedunia 2021 ini, marilah kita bersama-sama memainkan peranan di dalam menyokong sebarang usaha untuk memperkasakan keupayaan para belia dari aspek kemahiran, intelektual dan keusahawanan kerana generasi belia adalah penentu kejayaan masa hadapan negara dan bangsa.

 

 

 

Shafry Salim

Timbalan Pendaftar

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)