Jepun adalah sebuah negara yang kaya dengan kebudayaan yang masih terpelihara. Banyak kawasan di Jepun tersenarai sebagai World Heritage Sites kerana ciri-ciri kebudayaan yang masih dikekalkan. Salah satu kebudayaan negara Jepun yang menjadikan negara ini lebih menyerlah berbanding dengan negara lain adalah budaya animasi mereka atau lebih dikenali sebagai anime.

Teknik yang mereka gunakan, gambaran latar belakang yang cantik, jalan cerita yang menarik, malahan watak animasi yang comel menjadikan ramai golongan muda kini suka kepada budaya ini. Budaya ini sudah tidak asing lagi dalam kalangan golongan muda di Malaysia. Watak-watak di dalam anime diberikan sifat keperibadiannya yang tersendiri. Seolah-olah seperti sikap dan sifat manusia yang sebenar. Inilah yang menjadi tarikan utama pada budaya dan karya seni ini.

Situasi yang sebegini menjadikan karya seni animasi Jepun berbeza dengan kebanyakan animasi yang datangnya dari barat. Rata-rata peminat anime bukan sahaja menunjukkan minat mereka kepada watak-watak yang comel, latar belakang yang hidup serta budaya dan cara hidup Jepun lain yang ditonjolkan, tetapi juga pada bahasa yang menjadi medium komunikasi di dalam anime itu sendiri. Bagi peminat anime, kepuasan menonton anime dalam alih bahasa tidak akan sama dengan menonton anime dalam bahasa Jepun.

Perkataan anime dalam bahasa Jepun wujud daripada perkataan pinjaman animation dalam bahasa Inggeris. Genre anime sangat meluas. Bukan sahaja tentang kanak-kanak dan remaja, malahan genre anime meliputi bidang seperti sukan, kekeluargaan, cinta dan kasih sayang, fantasi, misteri, peperangan, perubatan dan sebagainya. Melalui minatnya golongan ini pada anime, menjadikan keinginan mereka untuk menguasai bahasa Jepun juga menjadi sangat tinggi. Persoalan yang selalu bermain di fikiran sesetengah peminat anime adalah “adakah minat terhadap anime ini membantu mereka dalam pembelajaran bahasa Jepun?.” Jika ditanya persoalan yang sedemikian, jawapannya sudah tentulah “YA”. Bagi seseorang yang meminati anime, ada beberapa faktor yang membantu dalam pembelajaran bahasa Jepun yang lebih berkesan.

Motivasi

Tidak dapat dinafikan bahawa menonton anime menjadi alasan mengapa ramai orang menghargai dan mencintai bahasa Jepun. Minat yang mendalam pada anime boleh menjadi satu faktor motivasi yang mendorong proses pemerolehan sesuatu bahasa itu akan menjadi lebih cepat. Apabila seseorang itu melakukan sesuatu yang mereka minati, ianya dilakukan tanpa paksaan. Keinginan yang datang dari dalam diri sendiri merupakan satu motivasi dalaman yang menjadikan proses pembelajaran itu lebih menyeronokkan. Tanpa faktor tekanan, penerimaan sesuatu perkara akan menjadi lebih mudah dan bersifat secara semulajadi. Begitu juga bagi pelajar yang mempunyai minat terhadap anime.

Ada di antara pelajar yang meminati anime, bermotivasi untuk mempelajari bahasa Jepun disebabkan keinginan mereka untuk memahami dialog-dialog yang ada di dalam anime tanpa melihat kepada sarikata. Ada juga di antara mereka yang memilih untuk mempelajari bahasa Jepun kerana tertarik dengan budaya-budaya Jepun yang ditonjolkan dalam anime yang mereka gemari. Ada yang berkeinginan untuk pergi ke tempat-tempat yang ada di dalam anime yang mereka tonton. Dengan adanya keinginan ini, pelajar akan terdorong untuk mempelajari bahasa Jepun tanpa paksaan dan tekanan dari luar. Situasi ini menjadikan ianya satu kelebihan kepada pelajar yang mempelajari bahasa Jepun dan dalam masa yang sama mempunyai minat terhadap anime.

Pemerolehan kosa kata, frasa dan struktur ayat

Melalui kekerapan tontonan anime yang diminati, penguasaan ataupun pemerolehan kosa kata mahupun frasa akan menjadi lebih cepat. Peminat anime yang mempelajari bahasa Jepun akan lebih mudah memahami sesuatu perbendaharaan kata, frasa dan bentuk ayat melalui gambaran situasi dalam anime yang ditonton. Sesuatu perbendaharaan kata, frasa dan bentuk ayat akan menjadi lebih mudah difahami kerana pelajar dapat membayangkan konteks penggunaannya melalui gambaran babak-babak yang ada di dalam anime. Keadaan seperti ini, sukar diperolehi sekiranya seseorang pelajar hanya mempelajari bahasa Jepun melalui buku teks. Penggunaan bentuk ayat dalam konteks-konteks tertentu akan lebih mudah difahami oleh pelajar kerana ada gambaran secara visual dan juga pengulangan dialog dalam situasi-situasi tertentu.

Pelajar juga boleh mempraktikkan penggunaan ayat-ayat yang ada di dalam anime dalam kehidupan seharian, terutamanya dalam kalangan pelajar-pelajar yang mempunyai minat sama. Situasi sebegini akan menjadikan penguasaan terhadap bahasa Jepun akan menjadi lebih cepat kerana pelajar tahu konteks penggunaan ayat dan perbendaharaan kata dalam konteks dan situasi yang sebenar. Selain itu, perbendaharaan kata, frasa dan bentuk ayat yang digunakan biasanya berulang-ulang. Proses pengulangan adalah satu proses yang penting dalam mempelajari sesuatu bahasa. Dengan pengulangan, pemerolehan sesuatu bahasa itu akan menjadi lebih cepat.

Kemahiran mendengar dan bertutur

Dalam mempelajari sesuatu bahasa, terdapat empat kemahiran yang penting. Kemahiran-kemahiran tersebut terdiri daripada kemahiran mendengar, kemahiran bertutur, kemahiran membaca dan juga kemahiran menulis. Melalui minat tontonan pada anime, kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur akan menjadi berkesan. Bentuk ayat di dalam anime biasanya menggunakan bentuk ayat yang mudah dan ringkas. Ayat-ayat yang dituturkan adalah ayat komunikasi yang biasanya kedengaran agak laju bagi seseorang yang baru mempelajari bahasa Jepun. Bagi pelajar yang sudah biasa menonton anime, mereka akan terbiasa dengan tahap kelajuan pertuturan dalam bahasa Jepun. Dengan itu, apabila mereka didedahkan kepada kemahiran mendengar, mereka akan lebih mudah memahami ayat yang mereka dengar. Begitu juga dengan kemahiran bertutur. Pelajar yang minat dan sering menonton anime akan terbiasa dengan bunyi-bunyi fonetik yang ada di dalam bahasa Jepun. Justeru, lebih mudah bagi mereka meniru bunyi-bunyi perkataan yang ada di dalam bahasa Jepun, kerana telah terbiasa mendengarnya di dalam anime.

Disiplin dalam mempelajari bahasa Jepun

Walaupun dapat dilihat dengan jelas, minat terhadap anime dapat memberikan kesan yang positif kepada seseorang yang mempelajari bahasa Jepun, namun harus diingat bahawa tanpa adanya usaha, semua itu tidak akan menjadikan seseorang itu mampu bertutur dengan sendirinya. Disiplin dalam pembelajaran bahasa Jepun adalah sangat penting. Seseorang yang serius ingin menguasai bahasa Jepun perlu banyak menghafal. Bukan sahaja perkataan dan struktur ayat, namun juga bentuk tulisan.

Untuk membolehkan seseorang itu mampu membaca buku-buku dalam bahasa Jepun dengan baik, seseorang itu perlu mengetahui sekurang-kurangnya seribu bentuk tulisan Kanji, di samping tulisan Hiragana dan Katakana. Tulisan Kanji merupakan tulisan yang berasal dari bahasa Cina dan dipinjam masuk ke dalam bahasa Jepun. Walaupun tulisan Kanji kebanyakannya mempunyai bentuk dan makna yang sama dengan tulisan dalam bahasa Cina, namun di dalam bahasa Jepun terdapat kepelbagaian bunyi dan cara menyebutnya pada setiap satu kuruf Kanji tersbut.

Belajar perlulah berguru

Semua proses ini tidak mampu diperolehi dengan hanya menonton anime. Cara yang terbaik, adalah dengan berguru. Pembelajaran secara formal dan dibimbing oleh guru adalah proses yang terbaik dalam mempelajari bahasa Jepun. Minat terhadap anime, akan menjadi suatu bonus kepada pelajar yang mempelajarinya secara formal di dalam kelas. Tambahan lagi, bahasa yang digunakan di dalam anime bukanlah bahasa yang formal. Bahasa di dalam anime adalah bahasa komunikasi, iaitu bahasa perbualan harian dan tidak formal. Tidak semua perkataan dan bentuk ayat yang ada di dalam anime sesuai digunakan dalam semua keadaan, terutamanya apabila dalam situasi pekerjaan.

Masyarakat Jepun sangat terkenal dengan ciri-ciri kesopanan. Adalah penting bagi seseorang itu tahu bertutur menggunakan bahasa yang betul seperti bahasa Jepun formal dan bahasa Jepun yang sopan. Jika tersalah pilih perkataan dan struktur ayat, boleh menyebabkan orang Jepun mempunyai persepsi dan tanggapan yang salah pada penutur. Kebanyakan perkataan dan bentuk ayat yang digunakan di dalam anime tidak sesuai dituturkan dengan seseorang yang baru dikenali, seseorang yang tidak rapat, seseorang yang mempunyai jawatan atau kedudukan yang lebih tinggi serta dalam situasi yang formal. Bentuk ayat dan perkataan di dalam anime kebanyakannya hanya sesuai digunakan apabila berkomunikasi dengan keluarga dan kawan rapat sahaja.

Hakikatnya, apa pun yang kita lakukan haruslah dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Minat yang baik, tiada salahnya untuk diteruskan. Apatah lagi, jika minat itu mampu memberikan kelebihan kepada diri sendiri. Ianya perlu dilakukan dengan usaha yang berterusan. “Usaha tidak akan mengkhianati kita”. Sesungguhnya melakukan sesuatu itu dengan kehendak sendiri adalah satu motivasi dalaman yang membantu kita memperolehi apa yang kita hasratkan.

 

 

Siti Hajar Bidin

Pusat Pengajian Bahasa

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)