Ketua Pusat Kajian Tanah Lembut (RECESS), Institut Kejuruteraan Integrasi (I2E), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Ts. Dr. Nor Azizi Yusoff telah terpilih sekali lagi sebagai salah seorang dari empat Timbalan Presiden dan juga Ahli Lembaga Pengarah International Press-In Association (IPA) Jepun bagi tahun 2021 hingga 2022.

Perlantikan ini dibuat ketika berlangsungnya Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah pada 11 Jun lalu di Tokyo, Jepun secara dalam talian lantaran pandemik Covid-19 masih membelenggu dunia.

Dr. Nor Azizi yang merupakan pakar dalam bidang geoteknik merupakan Timbalan Presiden beragama Islam yang pertama di dunia dan rakyat Malaysia yang pertama diberi pengiktirafan ini oleh IPA Jepun.

Untuk rekod, ini merupakan kali kedua pelantikan beliau selepas dilantik pada sesi tahun 2019 hingga 2020 lalu.

Tiga orang Timbalan Presiden lain yang turut dilantik ialah Profesor Dr. Tatsunori Matsumoto dari Kanazawa University, Jepun, Profesor Dr. David White dari Southampton University, United Kingdom dan Profesor Dr. Kenneth Gavin dari Delft University of Technology, Netherlands.

IPA Jepun merupakan badan profesional yang dianggotai seramai hampir 800 orang terutamanya pemain industri dan ahli akademik dari seluruh dunia yang berkaitan Teknologi Penanaman Cerucuk Senyap.

Ketika ditemubual, Dr. Nor Azizi menzahirkan ucapan terima kasih beliau kepada seluruh warga kerja UTHM dan Kementerian Pendidikan Tinggi Malaysia atas sokongan positif dan padu yang diberikan.

Beliau juga berharap dengan perlantikan ini, hubungan dua hala antara Malaysia dan Jepun akan menjadi lebih akrab.

Sementara itu, Pengarah I2E, Profesor Madya Dr. Nafarizal Nayan pula berkata sebagai sebuah pusat di bawah I2E, perlantikan ketua RECESS ini amat membanggakan dan merupakan sebahagian daripada inisiatif universiti bagi memainkan peranan aktif dalam kerjasama strategik bersama pemain industri dan syarikat pembekal teknologi di peringkat global.

“Pencapaian ini diharap dapat melonjakkan lagi nama Malaysia di mata dunia dan seterusnya menyumbang kepada kebolehpasaran graduan UTHM dan universiti awam lain amnya untuk syarikat-syarikat berkaitan geoteknik dan cerucuk,” katanya.