Manfaatkan PKP belajar bahasa Arab

Setiap bahasa mempuyai keistimewaannya yang tersendiri, begitu juga dengan bahasa Arab. Rata-rata tahu bahawa bahasa al-Quran adalah dalam bahasa Arab dan ia menjadi sumber rujukan utama untuk mempelajari bahasa...
Foto: JejakIslami.com

Setiap bahasa mempuyai keistimewaannya yang tersendiri, begitu juga dengan bahasa Arab. Rata-rata tahu bahawa bahasa al-Quran adalah dalam bahasa Arab dan ia menjadi sumber rujukan utama untuk mempelajari bahasa ini.

Ramai yang selalu membaca al-Quran malah menghafalnya. Maka rugilah jika seseorang Muslim itu yang membaca al-Quran tetapi tidak cuba mempelajarinya demi memahami dan menghayati setiap kata, makna dan ibrah yang ada di dalamnya untuk diamalkan dalam kehidupan seharian.

Sebagai seorang Muslim, perkara pertama yang mesti ada dalam diri kita ialah  kesedaran dan keimanan kita terhadap pegangan bahawa bahasa al-Quran adalah dalam bahasa Arab dan setiap bacaannya akan mendapat pahala. Bayangkan jika setiap kali kita belajar bahasa ini, kita mendapat pahala apabila kita menyebut setiap perkataan Arab. Semua ini bergantung kepada niat. Justeru, perkara ini sangat memainkan peranan penting untuk memaksa dan mencetuskan semangat dalam diri  untuk memahami al-Quran dan mengamalkan setiap isi kandungannya dalam kehidupan kita.

Setiap ujian dan musibah yang berlaku pasti ada hikmah dan rahmatnya. Penularan pandemik COVID-19 menuntut manusia seluruh dunia hidup dalam norma baharu. Maka di kesempatan keberadaan kita bersama dengan keluarga masing-masing, ambillah peluang untuk mempelajari perkara baharu setiap hari seperti mempelajari dan memperkasakan bahasa Arab.

Ramai yang tertanya-tanya, bagaimana hendak belajar bahasa Arab jika tidak ada guru yang boleh membantu? Sebenarnya ramai guru di luar sana menawarkan perkhidmatan kelas belajar bahasa Arab secara percuma mahupun secara berbayar terutamanya semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini. Jika kita perhatikan kebanyakan kelas-kelas berbayar ini mengenakan bayaran yang amat murah sekali. Sudah pasti kesemua kelas ini dijalankan sepenuhnya secara dalam talian. Banyak juga perkongsian iklan tentang tuisyen atau kelas belajar bahasa Arab di laman sosial seperti Facebook, Instagram dan Twitter. Jadi dengan peluang ini kita boleh ambil untuk kita mula mempelajari bahasa Arab.

Permulaan untuk mempelajari bahasa Arab ini sebenarnya begitu mudah sekali kerana banyak tempat menyediakan perkhidmatan ini. Kita lihat di kebanyakan institut pengajian tinggi seperti universiti, kolej bahkan di masjid dan surau sebelum ini terdapat banyak kelas bahasa Arab dibuka untuk pelajar-pelajar, staf dan juga orang awam. Namun sejak tercetusnya pandemik Covid-19 ini, semuanya tidak dapat berjalan seperti biasa. Tetapi ia bukanlah halangan untuk kita semua.

Kita dapat lihat banyak kaedah pembelajaran dalam kelas telah berubah dan dijalankan secara dalam talian dengan menggunakan pelbagai platform sama ada yang percuma mahupun berbayar. Kebanyakannya kelas-kelas secara dalam talian ini dilaksanakan menggunakan aplikasi seperti Google Meet, Zoom, Teams Microsoft, Skype, Facebook Live dan YouTube Live.

Bahan-bahan pembelajaran secara mudahnya boleh didapati dengan banyak sekali contohnya seperti dalam aplikasi YouTube. Video-video yang disediakan yang biasanya oleh guru-guru sendiri kebanyakannya sangat menarik untuk menarik minat pelajar. Bahkah ibu bapa juga boleh turut serta mempelajarinya bersama dengan anak-anak dengan tujuan membantu mereka memahami setiap topik yang ditonton.

Inilah teknologi yang mana sebenarnya ramai orang lupa bahawa sesungguhnya Allah SWT sahajalah yang telah mengurniakan dengan mengilhamkan kepada manusia supaya kita sentiasa berfikir dan menghasilkan sesuatu yang baharu dan lebih berinovasi. Jadi bagaimana kita memanfaatkan untuk mempelajari bahasa Arab dan memahami al-Quran Kitab Yang Maha Bijaksana?

Penulis pernah mengajar bahasa Arab secara dalam talian dengan menggunakan aplikasi Google Meet. Kelas tersebut hanya mengambil masa selama lebih kurang satu jam sahaja dan hanya memperkenalkan asas-asas dan perkataan Arab mudah, yang biasa digunakan dalam kehidupan seharian. Dengan harapan pelajar-pelajar dapat mempraktiskan dalam setiap aktiviti harian mereka dan hasilnya mereka dapat mengingati setiap perkataan Arab.

Perlu diingatkan sekali lagi bahawa bahasa Arab adalah bahasa al-Quran. Pahala orang yang membaca al-Quran bukan dikira selepas habis membaca satu surah atau ayat. Tetapi setiap huruf pada ayat itu yang dikira ganjarannya sebanyak 10 pahala. Perbetulkan niat, mempelajari bahasa Arab kerana untuk memahami al-Quran. Nescaya kita akan mendapat ganjaran yang telah dijanjikan.

Justeru, dengan nikmat masa dan peluang yang diberikan oleh Allah SWT untuk sentiasa bersama keluarga dalam tempoh PKP ini, maka ambillah  peluang ini untuk belajar bahasa Arab. Rebutlah peluang pada waktu ini untuk mencari medan menuntut ilmu bersama-sama dengan anak-anak untuk kejayaan bersama.

 

 

Abdul Hadi Abd Aziz

Guru Bahasa Arab

Pusat Pengajian Bahasa UTHM

Categories
covid-19E-WacanaRencana

RELATED ARTICLE

  • Hikmah sambutan Aidiladha ketika pandemik

    Pada tahun ini, buat kali kedua umat Islam khususnya di Malaysia menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha ketika pandemik wabak Covid-19 masih membadai. Prosedur Operasi Standard (SOP) sambutan tahun 2021...
  • Anime dan pembelajaran bahasa Jepun

    Jepun adalah sebuah negara yang kaya dengan kebudayaan yang masih terpelihara. Banyak kawasan di Jepun tersenarai sebagai World Heritage Sites kerana ciri-ciri kebudayaan yang masih dikekalkan. Salah satu kebudayaan...
  • PPV Dewan Sultan Ibrahim UTHM mula beroperasi

    BATU PAHAT, 15 Julai 2021 –  Pusat Pemberian Vaksin Dewan Sultan Ibrahim Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (PPV DSI UTHM) memulakan operasi memberi vaksin kepada masyarakat Batu Pahat dan...
  • TVET pilihan utama belia pasca-pandemik

    Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang bersidang pada tahun 2014 telah mengisytiharkan tarikh 15 Julai sebagai Hari Kemahiran Belia Sedunia dan disambut pada setiap tahun. Sambutan ini diraikan...