Kegelisahan setiap anak remaja yang bakal menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) jelas kelihatan apabila kerajaan mula menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bermula 1 Jun 2021 lalu di seluruh negara. Cuti pertengahan tahun pelajar sekolah bersambung dengan kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara dalam talian dan dijangka berterusan sehingga Ogos akan datang.

Menurut sumber daripada Utusan Malaysia bertarikh 18 Jun 2021, walaupun langkah ini tidak popular dan bukanlah pilihan ramai, namun perlu dilaksanakan juga bagi mengawal penularan Covid-19 yang dijangka akan menular sehingga mencecah 13 ribu kes sekitar Jun 2021. Peningkatan ini sudah pasti boleh melumpuhkan sektor kesihatan negara yang kian tenat saban hari. Sehingga hari ini, PKP 3.0 terbukti berjaya mengawal penularan wabak COVID-19 dengan pengurangan jumlah positif di bawah 5 ribu kes positif pada setiap hari.

Sebagai bapa kepada anak yang akan menghadapi peperiksaan SPM pada tahun 2021 ini, penulis melihat keresahan yang ada pada anak remaja ini perlu dibimbing bagi memastikan anak sentiasa memperuntukkan masa mengulangkaji pelajaran setiap hari. Memang memerlukan perhatian dan displin yang tinggi dalam memastikan jadual pembelajaran anak-anak diikuti sebaik mungkin, agar mereka tidak terus terleka dengan media sosial, permainan online dan rancangan hiburan di kaca televisyen.

Peranan kita sebagai ibu bapa pada waktu PKP ini adalah sangat penting kerana kitalah guru dan rakan karib yang sentiasa berada bersama dengan anak-anak di rumah. Galakan, bimbingan serta nasihat daripada ibu bapa sangatlah penting bagi meningkatkan motivasi anak-anak yang bakal menghadapi SPM.

Penulis juga berpandangan, sebagai ibu bapa kita perlu mengambil inisiatif tambahan bagi membantu anak-anak yang bakal menghadapi SPM agar tidak ketinggalan dalam pelajaran. Contohnya dengan mendaftarkan anak-anak ke kelas tambahan secara dalam talian khususnya bagi subjek utama seperti Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris. Walaupun memerlukan sedikit peruntukkan bagi tujuan tersebut, pelaburan ini agak berbaloi dalam membantu anak-anak dan guru-guru sekolah yang sentiasa memberi pendidikan yang terbaik melalui kaedah PdPR.

Pengumuman Menteri Pendidikan tentang pencapaian SPM tahun 2020 yang mencapai Gred Purata Nasional (GPN) 4.80 terbaik dalam tempoh lima tahun baru-baru ini amat melegakan para pelajar dan juga ibu bapa. Ini kerana tahun 2020 adalah tahun seluruh dunia menghadapi penularan wabak COVID-19. Perlaksanaan PKP dan cabaran PdPR benar-benar menguji calon SPM pada tahun tersebut. Peningkatan prestasi SPM tahun 2020 ini diharap dapat memberi inspirasi dan motivasi kepada anak-anak kita yang bakal menempuh SPM pada tahun ini pula.

Sebagai ibu bapa juga, kita perlu mempunyai sedikit pengetahuan dalam membimbing anak-anak kita melihat arah tuju sebenar untuk menyambung pengajian selepas memperolehi keputusan SPM. Kini banyak institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta yang menawarkan program atau kursus untuk lepasan SPM. Pengetahuan berkaitan syarat minima yang ditetapkan oleh IPT untuk melayakkan lepasan SPM menyambung pengajian perlu didedahkan kepada anak-anak yang bakal mengambil SPM pada tahun ini supaya mereka dapat meletakkan sasaran bagi menyambung pengajian di IPT yang bersesuaian.

Ukuran ‘A’ bukanlah segalanya tetapi penting untuk berusaha sedaya mungkin bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang. Jika berjaya, peluang mereka untuk melanjutkan pengajian di kolej matrikulasi ataupun di universiti awam (UA) sama ada di peringkat asasi atau diploma akan terbentang luas. Malah mereka juga boleh menyambung pengajian di politeknik, kolej komuniti atau institut kemahiran yang disediakan oleh pihak kerajaan.

Bagi mereka yang bercadang untuk menyambung pengajian di peringkat ijazah juga boleh meneruskan pengajian di tingkatan enam dengan mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM). Usia yang muda ini perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin bagi membina hidup yang lebih baik pada masa akan datang, sama ada dengan memperolehi diploma, ijazah sarjana muda, sarjana, ijazah doktor falsafah (PhD) ataupun sekurang-kurangnya mempunyai sijil kemahiran.

Bagi mendapatkan keputusan yang cemerlang, usaha, doa dan tawakal kepada Allah adalah motivasi yang terbaik untuk calon-calon SPM pada tahun 2021 ini. Tempoh lapan bulan yang ada ini perlu dimanfaatkan sebaik mungkin untuk mengulang kaji pelajaran bagi memperolehi keputusan SPM yang baik dan berkualiti.

Cabaran norma baharu seperti menghadapi kaedah PdPR yang kadang kala diganggu dengan masalah liputan internet yang perlahan dan alat telekomunikasi yang terhad juga perlu dilalui dengan cekal dan tabah.

Bersamalah kita berdoa agar Pelan Pemulihan Negara yang dirancang oleh kerajaan berjaya mengikut fasa yang ditetapkan dan seluruh rakyat Malaysia dapat hidup bebas seperti biasa. Rindu bertaut pada kenangan 2019 dan tahun-tahun sebelumnya..

 

 

Nor Azezee Ahmad

Pegawai Perhubungan Awam

Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)