Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berjaya memperoleh pengiktirafan lima bintang bagi tempoh 2021-2024 berdasarkan sistem penarafan antarabangsa oleh agensi Penilaian Quacquarelli Symonds (QS).

UTHM telah berjaya memperoleh lima bintang bagi enam kategori iaitu pengajaran, kebolehpasaran pekerjaan, inklusif (keterangkuman), kaedah pembelajaran dalam talian, inovasi, dan kekuatan program akademik khusus bagi program Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Awam (Pembinaan) dengan kepujian.

Manakala dua lagi kategori iaitu penyelidikan dan pengantarabangsaan turut menunjukkan peningkatan apabila memperoleh empat bintang berbanding tiga bintang pada penarafan tahun 2017.

Pengauditan ini telah dijalankan oleh QS Intelligence Unit berpusat di London yang bertanggungjawab menjalankan penarafan QS Stars Rating setiap tiga tahun sekali. Ia juga merupakan agensi sama yang menilai sistem ranking universiti melalui QS World Universities Ranking.

Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly menzahirkan rasa terima kasih kepada seluruh warga UTHM yang telah memberikan komitmen dan kerjasama yang baik sehingga mencapai keputusan ini.

Beliau berharap amalan budaya kerja cemerlang dalam kalangan warga universiti akan diteruskan bagi memastikan UTHM dapat mencapai penarafan lima bintang bagi kesemua kategori yang dinilai.

Tambah beliau di era pandemik Covid-19 yang mencabar ini, kejayaan UTHM memperoleh penarafan lima bintang bagi kategori pembelajaran dalam talian  jelas membuktikan bahawa program akademik UTHM dapat dilaksanakan secara dalam talian dengan sokongan sistem infostruktur yang memenuhi standard penarafan antarabangsa.

Pencapaian ini adalah kesan daripada transformasi digital yang berterusan terhadap operasi dan kaedah penyampaian pengajaran dan pembelajaran (PdP) di UTHM.

“UTHM akan terus menambah baik kemudahan agar pensyarah dan pelajar dapat menjalani sesi PdP secara dalam talian dengan lebih lancar dan efektif.

“Pencapaian lima bintang ini sekali gus membuktikan UTHM kini berada di landasan yang tepat dalam usaha mengangkat nama UTHM di peringkat global,” katanya.