BATU PAHAT, 9 Mei 2021 – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menghantar pulang secara berperingkat lebih 3000 pelajarnya yang berada di kampus Parit Raja dan Pagoh ke kampung halaman masing-masing untuk berhari raya.

Menurut Naib Canselor, Profesor Datuk Ts  Dr. Wahid Razzaly proses penghantaran pelajar yang bermula pada 7 hingga 10 Mei ini melibatkan enam zon iaitu zon selatan (Johor, Melaka dan Negeri Sembilan), zon tengah 1 (Kuala Lumpur, Putrajaya dan Selangor), zon tengah 2 (Perak), zon timur (Pahang, Terengganu dan Kelantan), zon utara (Pulau Pinang, Kedah dan Perlis) dan zon Sabah (lapangan terbang).

“UTHM menggunakan perkhidmatan 36 bas, satu van dan satu kereta bagi menghantar mereka pulang sempena cuti hari raya Aidilfitri ini.

“Pihak kami melalui Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Majlis Perwakilan pelajar dan beberapa pusat tanggungjawab (PTj) lain juga menguruskan kepulangan mereka sebaik mungkin mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) yang telah ditetapkan,” katanya.

Tambah Datuk Wahid, seramai 661 pelajar yang berada di kampus induk dan kampus cawangan Pagoh memilih untuk kekal berada di kampus ketika Aidilfitri.

“Oleh kerana mereka memilih untuk berada di kampus atas sebab-sebab tertentu, pihak kami akan memastikan 1 syawal nanti tetap diraikan bersama.

“Kami mengharapkan para ibu bapa tidak terlalu risau tentang keberadaan anak masing-masing di sini kerana pihak kami tetap akan melayan dan menjaga mereka seperti anak sendiri,” katanya.

Sementara itu, beliau yang mewakili UTHM turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi yang sentiasa mengambil berat berkaitan hal ehwal pelajar universiti ini.

“Pihak kami juga berterima kasih dan sangat menghargai bantuan dan sumbangan yang dihulurkan oleh pelbagai pihak dan agensi bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan pelajar terjamin sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini,” katanya.

 

*Datuk Wahid sempat beramah mesra dengan pelajar ketika mereka menunggu giliran untuk bergerak pulang