Pensyarah Kanan Pusat Kajian Geomatik Gunaan dan Pencegahan Bencana Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr Nazirah Mohamad Abdullah berkata, konflik boleh diatasi dengan penggunaan teknologi digelarnya tiga serangkai.

Ia membabitkan Pengesanan melalui Sistem Penentududukan Global (GPS Tracking), Penderia Jauh (Remote Sensing) dan Sistem Maklumat Geografi (GIS).

“Menerusi teknologi tiga serangkai, ia boleh digunakan untuk memantau pergerakan gajah menerusi data daripada Sistem Penentududukan Global, mengetahui habitat gajah secara visual melalui imej satelit Penderia Jauh.

“Kita juga boleh memantau kawasan habitat gajah dan pencerobohan taman negara oleh pembalak haram melalui imej satelit dan menganalisis kelakuan pergerakan gajah menggunakan teknologi GIS,” katanya.

Beliau berkata, menerusi pendekatan teknologi tiga serangkai itu, lokasi secara masa sebenar dapat dikenal pasti sebagai langkah pencegahan awal daripada gangguan gajah.

“Berdasarkan data laluan yang dipetakan, kita boleh mewujudkan kawasan laluan hidupan liar termasuk jambatan yang dibina untuk laluan gajah bagi mengelak kemalangan jalan raya.

“Kawasan perlindungan hidupan liar juga patut dijaga supaya tidak berlaku kacau ganggu terhadap gajah mahupun hidupan liar lain,” katanya.

Nazirah berkata, konflik manusia dan gajah yang terjadi pada hari ini sebenarnya banyak dipengaruhi oleh sikap manusia itu sendiri.

“Kekurangan kita dalam isu serangan gajah ini bukan semata-mata kita kekurangan teknologi tiga serangkai itu, tetapi lebih kepada sahsiah diri.

“Penerapan mengenai kepentingan pemuliharaan hidupan liar ini perlu didedahkan bagi memudahkan pemahaman khususnya terhadap generasi muda,” katanya.

Nazirah yang juga Penasihat Kelab Planeteers UTHM berkata, pihaknya sentiasa menitikberatkan soal penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Disiarkan pada: April 15, 2021 @ 6:50am
Ikuti berita penuh di pautan berikut..