Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerokai penyelidikan bersama Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bagi membangunkan dua sistem penyelenggaraan serentak iaitu Enhancement of Predictive Maintenance Reporting Through Dashboard Application dan Rollingstock Wean and Tear Analysis Using On-Train Data Logger and Driver’s Task Load and Driving Behaviour.

Penyelidikan ini berbentuk perkongsian kepakaran oleh kumpulan penyelidik UTHM bersama dengan KTMB yang telah dimeterai dalam perjanjian persefahaman sebelum ini. Projek penyelidikan ini diterajui bersama oleh pakar dari Pusat Kecemerlangan ICoE-Rel iaitu Profesor Madya Dr. Nor Aziati Abdul Hamid dan Ts. Dr. Hairulazwan Hashim.

Nama mereka berdua sudah tidak asing lagi dalam melaksanakan penyelidikan berimpak tinggi dan berkolaborasi bersama industri rel di Malaysia. Kerjasama ini menjadi salah satu pencapaian berprestij UTHM apabila diberi kepercayaan bagi membangunkan dua sistem sekali gus, yang bertujuan untuk penyelenggaraan dan operasi terhadap sistem eletrifikasi serta stokereta.

Projek ini dibiayai menerusi peruntukan geran sepadan antara UTHM dan KTMB yang bernilai RM117,000 yang mana agihan secara 50% dari jumlah tersebut dibiayai oleh kedua belah pihak KTMB dan UTHM.

Secara amnya dua sistem ini dibangunkan bertujuan mengoptimumkan pengurusan operasi dan penyelengaraan peralatan bagi dua jabatan iaitu Jabatan Elektrifikasi dan Jabatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan KTMB. Penyelidikan stokereta melibatkan analisis secara komprehensif haus dan lusuh Set Tren Elektrik (ETS) sedia ada bagi perjalanan Kuala Lumpur-Ipoh.

Di samping itu, penyelidikan turut melibatkan analisa kos kitaran peralatan yang diselenggara bagi membolehkan pihak KTMB membuat perancangan kos tahunan yang lebih efektif dengan mengambil kira kos penyelenggaran, jadual penyelenggaraan yang tepat serta jangka hayat peralatan yang diguna pakai.

Penyelidikan bersama ini melibatkan kerjasama erat antara Jabatan Kejuruteraan dan Penyelenggaraan Stokereta KTMB yang ketuai oleh Pengurus Besar, Ir Kholel Manaf serta Pm. Pengurus Kanan Teknikal, Mohd Hishamuddin Salim. Kajian inter-discipline ini dapat membantu pihak KTMB dalam membuat keputusan serta perancangan kos dengan lebih tepat.

Manakala untuk sistem Dashboard, produk penyelidikan ini dibangunkan bertujuan membantu pihak kakitangan KTMB di Jabatan Elektrifikasi mengeluarkan laporan yang bersistematik dalam bentuk masa nyata untuk memudahkan mereka menyusun atur jadual selenggara mengikut keperluan peranti dan komponen sekali gus dapat menjimatkan kos.

Ketua Jurutera Jabatan Elektrifikasi, Ir. Mohamad Asri Yusoff meletakkan harapan dan keyakinan bahawa pasukan penyelidik UTHM dapat menzahirkan kepakaran dimiliki bagi mencapai objektif penyelidikan berimpak ini.

“Hampir 15 tahun pihak kami menggunakan “Screen Shot method” dari paparan komputer untuk membuat laporan harian.

“Kami berharap dengan adanya sistem ini ia dapat mempercepatkan proses penyediaan laporan dan lebih efisyen,” ujarnya.

Projek pembangunan aplikasi ini akan dijalankan dalam jangka masa 12 hingga 24 bulan bermula tahun 2021 oleh kumpulan penyelidik UTHM dari Pusat Kecemerlangan ICoE-Rel bersama penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP), Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK)  dan Pusat Pengajian Diploma (PPD).

Evolusi norma baharu kesan daripada COVID-19 sedikit sebanyak memberi impak pada para penyelidik terutama dari segi pergerakan dan sasaran kerja tahunan. Namun begitu ia tidak bermakna usaha sama antara industri dan universiti perlu dihentikan.

Kedua-dua penyelidik UTHM, Dr. Aziati dan Dr. Hairulazwan turut melahirkan hasrat untuk berusaha keras mengeksplorasi peluang-peluang penyelidikan dan pembangunan yang baharu dengan sebahagian aktiviti penyelidikan dilaksanakan secara dalam talian mengikut kesesuaian skop projek.

Selain itu mereka juga aktif membantu industri menginovasi sistem yang sedia ada mengikut kepakaran masing-masing sekali gus membantu menaikkan nama UTHM sebagai  peneraju utama universiti awam dalam bidang rel.