Program “The Digital-preneur Mindset” pupuk semangat keusahawanan pelajar

BATU PAHAT- Biro Kebudayan Mahasiswa India (BKMI) Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan satu program bertajuk “The Digital-preneur Mindset” pada 10 Mac 2021 lalu secara dalam talian bagi memberi pendedahan awal kepada pelajar berkaitan dunia perniagaan sekali gus mendorong mereka untuk menceburi bidang keusahawanan dengan prosedur yang betul.

Menurut Penasihat BKMI, Ts. Dr. Tamil Selvan A/L Subramaniam, program ini dianjurkan dengan dua objektif utama iaitu sebagai medium pendedahan dan penerapan nilai serta elemen keusahawanan kepada pelajar, yang mana mereka akan merasai sendiri pengalaman menjalankan aktiviti perniagaan.

Manakala objektif kedua pula untuk memberi pendedahan dan maklumat berkaitan ilmu asas keusahawanan seperti teknik penyediaan pelan perniagaan dan mengenali agensi kerajaan yang terlibat dalam membantu pelajar menceburi bidang ini.

Untuk perancangan akan datang, perkongsian daripada pakar industri juga akan diadakan dari masa ke semasa selaras dengan hala tuju UTHM iaitu Global Technopreneur Universiti 2030 (GTU2030).

Program ini disertai oleh 140 pelajar dari UTHM dan juga sebilangan peserta dari beberapa universiti dan politeknik tempatan.

Antaranya ialah Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Pahang, Universiti Malaysia Terengganu, First City University, Universiti Malaysia Kelantan, UMSKAL, UPSI, UniKL, UniMAP, Politeknik Ungku Omar, Politeknik Nilai, Politeknik Seberang Perai, Politeknik Port Dickson, Politeknik Mersing dan Politeknik Sultan Salahhudin Abdul Aziz Shah.

Pakar keusahawanan digital dari industri, Puvanesvari Subramaniam telah dijemput untuk berkongsi tentang kriteria untuk menjadi usahawan yang berjaya, kemahiran berkomunikasi serta kemahiran menarik perhatian pelanggan.

Beliau yang merupakan pengasas dan jurulatih Go Digital Club telah berkongsi pengalaman keusahawanannya di samping membincangkan topik-topik yang berkaitan dengan keusahawanan digital (Digital Entrepreneurship).

Beliau juga turut memperkenalkan agensi-agensi kerajaan yang dapat membantu pelajar dalam persediaan memulakan sesuatu perniagaan selari dengan minat mereka.

Sementara itu, Presiden Biro Kebudayaan Mahasiswa/i India sesi 2020/2021, Thamendaran Gunaratnam berkata program seumpama ini akan diadakan dari semasa ke semasa untuk membantu memupuk semangat keusahawanan dalam diri pelajar.

“Usaha seumpama ini diharap mampu melahirkan ramai usahawan di negara ini pada masa hadapan,” katanya.

 

Categories
Hal Ehwal Pelajar
Subscribe