Wakaf elektrik tangani kos

BERITA HARIAN, 3 FEBUARI 2021 Oleh Prof Dr Ismail Omar – Februari 3, 2021 @ 11:00am bhrencana@bh.com.my BEKALAN elektrik amat diperlukan rakyat. Dalam Belanjawan 2021, RM69 bilion diperuntukkan untuk belanja pembangunan, termasuk...

BERITA HARIAN, 3 FEBUARI 2021

Oleh Prof Dr Ismail Omar – Februari 3, 2021 @ 11:00am

bhrencana@bh.com.my

BEKALAN elektrik amat diperlukan rakyat. Dalam Belanjawan 2021, RM69 bilion diperuntukkan untuk belanja pembangunan, termasuk penyediaan prasarana dan bekalan elektrik, manakala bagi pembangunan sosial, RM18.3 bilion disediakan. Sebanyak RM250 juta juga disediakan untuk bekalan elektrik di luar bandar.

Antara cara menjamin bekalan elektrik berterusan adalah memastikan jana kuasa dan loji berkaitan penyediaan sumber bahan api berfungsi dengan baik.

Justeru, alat pembekalan elektrik perlu disediakan dengan kualiti memuaskan. Bukan setakat stesen jana kuasa berkualiti, malah talian dan sistem penghantaran serta agihan kuasa elektrik juga perlu berjalan lancar.

Kerajaan menswastakan kerja berkaitan kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB). Begitu juga penyediaan jana kuasa elektrik di seluruh negara membabitkan kos jutaan ringgit.

TNB juga ialah syarikat pembekal tenaga elektrik terbesar di Asia Tenggara dengan aset bernilai RM99.03 bilion.

Tanpa perhatian dan langkah memuaskan, kerajaan dan pembekal kuasa elektrik akan mendepani kos tinggi. Akibatnya, bil dibayar rakyat akan meningkat.

Kos pengeluaran barangan juga melambung. Apabila ia berlaku, harga barangan keperluan dan penghantaran turut mengalami peningkatan. Maka, inflasi akan naik yang akhirnya rakyat dibebani kos sara hidup tinggi.

Oleh itu, antara cara mengekang kos bekalan elektrik ialah wakaf. Wakaf bekalan elektrik mampu menyediakan alatan seperti loji, panel solar, jana kuasa dan sistem bekalan serta agihan elektrik murah dan mampu milik. Manfaat wakaf elektrik mampu mengurangkan kos pengurusan dan bil elektrik.

Bagaimanakah caranya? Menurut prinsip dan kaedah ada, objek wakaf (mauquf) ialah pemberian untuk membantu kebajikan penerima (mauquf alaih). Dengan syarat ditentukan ulama muktabar, wakaf diberi melalui pelbagai bentuk (mauquf), boleh menjana kebajikan rakyat menerusi penyediaan kemudahan awam, termasuk penyaluran bekalan elektrik.

Dengan mengumpulkan dana wakaf untuk membeli dan menyediakan kemudahan bekalan serta agihan elektrik, kos berkaitan dapat dikurangkan. Manfaat dana mampu menyediakan jana kuasa dan sistem bekalan elektrik dengan murah untuk kebaikan semua.

Kutipan dana boleh dijalankan kerajaan melalui sumbangan kerajaan sendiri, iaitu wakaf irsod atau sumbangan agensi berkaitan secara tunai.

Kemudian, dana terkumpul daripada kerajaan, agensinya atau orang ramai melalui wakaf tunai boleh digunakan membeli peralatan berkaitan, termasuk jana kuasa (wakaf peralatan) atau hartanah untuk maksud perbekalan elektrik berkenaan.

Dana itu boleh dikumpulkan melalui pelbagai cara, termasuk dana awam secara dalam talian dan potongan gaji.

Sekiranya separuh rakyat kita atau 18 juta orang menyumbang RM10 seorang setiap bulan, kita sudah memperoleh dana sejumlah RM180 juta sebulan dan RM2.16 bilion setahun.

Namun, masalah kita hadapi ialah tahap kefahaman rakyat mengenai wakaf masih rendah. Kajian dijalankan penulis mendapati di universiti awam (UA), tahap kesedaran hanya lima peratus dan di seluruh negara (8 peratus), berbanding Indonesia (17 peratus).

Bagaimanakah masalah kefahaman boleh diperbaiki? Di bawah Jadual Ke-9, Perlembagaan Persekutuan, tugasan berkaitan agama dan wakaf terletak di bawah kerajaan negeri.

Majlis Agama Islam Negeri perlu lebih aktif meningkatkan promosi dan kefahaman rakyat. Agensi Kerajaan Persekutuan dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) boleh membantu seperti Uda Awqaf memajukan banyak hartanah dengan cara wakaf di seluruh negara.

Begitu juga Awqaf Holdings dan Johor Corporation (JCorp) menerusi wakaf An-Nur berjaya mengumpul dana wakaf melebihi RM1 bilion. Banyak lagi agensi kerajaan seperti pihak berkuasa tempatan (PBT), perbadanan dan syarikat swasta boleh memberi sumbangan untuk menjayakan wakaf dalam pelbagai bentuk.

UA dan swasta pula boleh membeli panel solar dengan menggunakan dana wakaf (atau endowmen) sebagai wakaf perkakasan untuk menghasilkan sumber tenaga solar. Bukan sekadar sumber tenaga solar, mungkin juga sumber tenaga angin. Dengan kepakaran di institusi pengajian tinggi (IPT), ia mampu dilakukan.

Ada UA terpaksa membayar bil elektrik sehingga RM300,000 sebulan. Wakaf elektrik mampu mengurangkan beban ini. Tenaga solar dijana melalui tenaga solar di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Kuala Lumpur, manakala Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sedang membangunkan tenaga solar di Kampus Parit Raja, Batu Pahat. Apa lagi Universiti Tenaga Nasional (UNITEN) semestinya mempunyai kepakaran.

Begitu juga tenaga solar boleh dijana di pekarangan masjid di negara ini. Kebanyakan masjid dan surau mempunyai kawasan (atau di atas kuburan) untuk dibina sistem solar panel dan menyalurkan bekalan elektrik. Oleh itu, bil elektrik dapat dikurangkan.

Begitu juga sekolah, hospital dan kilang. Bagaimanapun, perancangan rapi perlu dilakukan secara mantap dan bersepadu.

 

Penulis adalah Presiden Pertubuhan Profesional Tanah Malaysia (PERTAMA)yang juga pensyarah Hartanah dan Wakaf, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia

 

Categories
Keratan Akhbar 2021

RELATED ARTICLE