SHAH ALAM – Tiga penyelidik dari Pusat Kecemerlangan Industri-Rel (ICOE-Rel), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) berkongsi ilmu dan kepakaran masing-masing dengan 15 pakar sistem elektrifikasi kereta api dari PESTECH TECHNOLOGY SDN. BHD. (PTSB) pada 29 September 2020 lalu.

Mereka yang terdiri daripada Profesor Madya Ts. Dr. Rosmaini Tasmin, Profesor Madya Dr. Nor Aziati Abdul Hamid dan Ts. Dr. Hairulazwan Hashim berkongsi ilmu melalui penganjuran kursus Reliability, Availability, Maintainability and Safety (RAMS).

Untuk rekod, PTSB merupakan sebuah syarikat yang menerajui Sistem Elektrifikasi dalam industri rel dan tersenarai di Bursa Malaysia Securities Berhad Main Market.

Menurut Rosmaini, RAMS menjadi isu yang penting pada masa kini dalam industri kereta api dan ia secara beransur-ansur diperluaskan pada perancangan pembangunan rangkaian Kereta api Negara.

“Justeru itu, kepakaran penyelidik ICOE-Rel dalam RAMS sangat diperlukan dalam bidang industri rel.

“Kursus yang dijalankan selama tiga hari ini memberi impak yang positif kepada PTSB kerana mereka dapat mengaplikasikan proses dan prosedur mengikut piawaian yang telah ditetapkan dalam British Standard (BS) Eeuropean Norm (EN) 50126 – The Specification and Demonstration of RAMS pada peringkat awal rekaan untuk Sistem Elektrifikasi Kereta api terutamanya kepada projek-projek mega yang bakal mereka terajui,” katanya.

Tambah beliau kursus ini dibiayai sepenuhnya oleh pihak industri hasil perbincangan dan kerjasama alumni UTHM, penyelidik ICOE-Rel dan PTSB.

“Jalinan hubungan baik ini akan menjadi pencetus kepada sebarang bentuk kolaborasi pada masa akan datang untuk bidang penyelidikan ataupun perundingan,” ujar beliau.

Kumpulan penyelidik terlibat juga berhasrat untuk melaksanakan lebih banyak program seumpama ini bagi mendapatkan kerjasama positif dengan pihak industri.

“Usaha ini bagi mempergiatkan lagi kepakaran dalam menangani permasalahan yang berlaku di industri, di samping menjana pendapatan ICOE-Rel,” kata Rosmaini.