BATU PAHAT – Seramai 72 calon pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (ISMPV) Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional (FPTV), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah mencatatkan keputusan ‘Lulus dengan Terampil’ bagi Peperiksaan Akhir Teori dan Amali Verifikasi Luaran Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) yang bermula pada 24 hingga 27 Ogos lalu.

Tiga program bertuliah yang terlibat adalah Pemasangan & Penyelenggaraan Elektrik-Tiga Fasa (EE-320-3:2012), Penyeliaan Pemasangan dan Penyelenggaraan HVAC (ME-020-3:2012) dan Proses Kimpalan Arka Kepingan Logam (MC-024-3:2012). FPTV selaku pusat bertauliah verifikasi luaran SKM telah menerima 72 calon yang juga merupakan pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan Vokasional (ISMPV) di fakulti ini.

Menurut Ketua Jabatan Kemahiran dan Profesional, Ts. Dr. Nizamuddin Razali sehingga Ogos tahun ini keseluruhan pelajar FPTV yang telah memperolehi Sijil Kemahiran Malaysia adalah seramai 943 orang berdasarkan enam program bertauliah yang ditawarkan.

“Usaha komited warga kerja FPTV dalam memastikan pelajar dan graduannya memperolehi SKM mengikut bidang masing-masing dan bukan sahaja mempunyai kelayakan akademik malah kelayakan dalam bidang kemahiran patut diberi sokongan oleh semua pihak kerana ia merupakan nilai tambah kepada graduan sebelum berada dalam dunia pekerjaan,” ujar beliau.

“Usaha sebegini juga adalah bagi menyediakan graduan UTHM selari dengan taglinenya UTHM Produces Professionals,” tambah Dr. Nizamuddin.