Malaysia Prihatin, hayati Rukun Negara – Ketua Polis Johor

Batu Pahat, 30 Ogos – “Kembalilah menghayati Rukun Negara dalam menjalankan urusan harian dan jadilah ia sebagai panduan yang harus kita gunakan untuk mendepani cabaran tahun-tahun mendatang,” kata Ketua...

Batu Pahat, 30 Ogos – “Kembalilah menghayati Rukun Negara dalam menjalankan urusan harian dan jadilah ia sebagai panduan yang harus kita gunakan untuk mendepani cabaran tahun-tahun mendatang,” kata Ketua Polis Johor, Dato’ Ayob Khan Mydin Pitchay ketika menyampaikan syarahan kenegaraan bertajuk “Perpaduan, Patriotisme dan Integriti Berdepan Krisis COVID-19 : Malaysia Prihatin” kepada warga Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Menurut beliau Rukun Negara jelas menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara yang mendukung cita-cita ingin mencapai perpaduan yang lebih erat dalam kalangan seluruh masyarakat.

“Walaupun kini negara menghadapi pelbagai cabaran antaranya krisis pandemik Covid-19 dan dengan keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu, menghayati Rukun Negara dapat menyatukan kita sebagai warganegara Malaysia sekali gus dapat membentuk satu cara hidup yang demokratik,” katanya semasa berlangsungnya Majlis Sambutan Bulan Kemerdekaan Kali Ke-63 peringkat universiti bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Selain itu, beliau turut menyeru warga kampus agar sentiasa menyemai semangat patriotisme dalam diri masing-masing dengan mewujudkan perasaan cinta dan hormat kepada tanah air demi menggapai keamanan sejagat dalam membantu pembangunan negara.

Dato’ Ayob turut mengingatkan warga kampus agar mengamalkan budaya integriti dalam urusan seharian dan terus memerangi rasuah yang menjadi duri kepada keamanan dan kestabilan negara.

Hadir sama ke majlis pelancaran tersebut, Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly; Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Ismail Abdul Rahman; Pendaftar, Encik Abdul Halim Abdul Rahman dan Pegawai-pegawai kanan universiti.

Turut diadakan acara menaikkan Jalur Gemilang sebagai simbolik kepada pelancaran bulan kemerdekaan ke-63 peringkat UTHM.

Pelbagai aktiviti telah dirangka dan dilaksanakan oleh warga kampus bagi memeriahkan lagi sambutan bulan kemerdekaan pada tahun ini antaranya pemasangan bendera pada kenderaan di sekitar kampus, pertandingan fotografi, program kayuhan merdeka (fun ride) dan aktiviti melukis mural dinding yang didedikasikan khas kepada petugas-petugas barisan hadapan negara yang bersama-sama berjuang menangani krisis pandemik Covid-19.

Categories
Berita Umum

RELATED ARTICLE