Wabak Covid-19 merupakan pandemik utama dunia yang telah menjangkiti jutaan mangsa dan juga meragut ribuan nyawa dalam tempoh hanya beberapa bulan. Namun begitu, ada lagi wabak yang dikategorikan epidemik yang sama kritikal hampir mirip pandemik Covid-19 yang telah sekian lama berlaku tetapi tidak begitu diambil serius oleh masyarakat. Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) melaporkan lebih 1.2 juta orang mati setiap tahun di seluruh dunia dan 20 hingga 50 juta mengalami kecederaan disebabkan kemalangan jalan raya. Di sesetengah wilayah dunia epidemik ini terus meningkat setiap tahun.

Di Malaysia, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman telah melaporkan 10,382 kes kemalangan jalan raya berlaku di seluruh negara dalam tempoh 32 hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tahun ini. Daripada jumlah kemalangan yang laporkan ini 145 kematian telah direkodkan. Walaupun rekod ini menunjukkan penurunan positif statistik kemalangan sehingga 70 peratus berbanding sebelum PKP dikuatkuasakan, namun begitu kadar kematian yang dicatatkan ini bukanlah sesuatu yang harus dibanggakan kerana kemusnahan lebih besar telah berlaku sebelum penyebaran Covid-19 di Malaysia.

Perbandingan data kematian disebabkan oleh kemalangan dalam tempoh 18 Mac 2020 sehingga 18 April 2020 berbanding dengan kadar kematian keseluruhan kes Covid-19 di Malaysia terkini adalah sebanyak 1.4 peratus kematian disebabkan kemalangan (32 hari) dan 1.35 peratus kematian disebabkan pandemik Covid-19 di Malaysia (Data daripada Januari  sehingga 27 Ogos 2020). Kadar kematian disebabkan kemalangan ini sebenarnya amat membimbangkan kerana peratusan sebenar dalam tempoh yang sama dijangkakan adalah lebih tinggi.  Penguatkuasaan PKP pada dasarnya telah mengurangkan jumlah trafik dan seterusnya menurunkan angka korban kemalangan tetapi terdapat kajian yang menunjukkan pengurangan lalu lintas juga telah menyebabkan kelajuan kenderaan meningkat dan menyebabkan kes korban jiwa terus bertambah.

Kebimbangan ini juga turut disuarakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), melalui sidang media yang diadakan oleh Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah. Apa yang lebih merisaukan kerajaan adalah peningkatan mendadak kadar kemalangan jalan raya  sebanyak 397 kes sehari Ketika fasa pertama PKP (PKP 1) kepada 738 kes sehari yang direkodkan Ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Dalam tempoh 28 hari, dari 13 Mei 2020 sebanyak 231 kematian berlaku daripada 25,251 kes kemalangan yang berlaku iaitu purata 8.25 kematian setiap hari. Ketakutan terhadap kematian yang melibatkan kemalangan sepatutnya semakin berganda ketika negara belum lagi memenangi sepenuhnya perang terhadap Covid 19. Tambahan lagi jumlah kematian berpunca daripada kemalangan jalan raya adalah melebihi kematian yang disebabkan pandemik Covid 19.

Pengawalan epidemik kemalangan jalan raya

Keberkesanan langkah terhadap penyebaran pandemik Covid-19 perlu menjadi contoh terbaik kepada pencegahan epidemik kemalangan jalan raya. Walaupun telah sekian lama pihak kerajaan berusaha untuk mempertingkatkan kualiti infrastruktur yang menyokong keselamatan jalan raya, namun kes-kes kemalangan yang disebabkan oleh faktor pemandu masih berada di carta teratas sebagai punca utama penyebab kemalangan. Tambahan pula penambahbaikan infrastruktur jalan itu sendiri pasti mengambil satu tempoh masa yang lama untuk melihat hasilnya terhadap kadar kemalangan malah belum tentu dapat menghentikan sepenuhnya kemalangan tersebut.

Dalam tempoh pandemik Covid-19 ini adalah sangat penting jika sistem kesihatan negara tidak dibebani dengan angka korban jalan raya yang tinggi. Sekiranya pandemik Covid-19 berakhir pada masa hadapan, kadar maut akibat epidemik kemalangan ini juga tidak harus meningkat malah perlu dikurangkan semaksimum yang mungkin. Epidemik ini sudah sekian lama berada dalam masyarakat dan perlu ditangani dengan lebih serius. Dengan itu langkah keselamatan jalan raya baharu mesti dimasukkan ke dalam pakej ‘Langkah pencegahan Covid-19 berterusan selepas Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).’

Pengalaman menangani Covid-19 di tanah air dengan strategi yang kemas, lebih tegas dan penglibatan menyeluruh daripada semua masyarakat, dilihat sangat berpotensi dijadikan iktibar untuk mempertingkatkan penerimaan sosial terhadap perubahan sikap pemandu dan tingkah laku. Proses pencegahan kemalangan ini pasti dapat dilakukan dengan lebih pantas. Sepertimana kempen secara besar-besaran terhadap kesedaran penjagaan kendiri berkaitan Covid-19 seperti penggunaan pelitup muka, penggunaan cecair sanitasi dan penjarakan sosial telah meningkatkan kesedaran di setiap lapis masyarakat. Majoriti rakyat Malaysia dilihat mematuhi setiap langkah-langkah keselamatan diri untuk pencegahan Covid-19. Jika pendekatan yang sama diimplementasikan terhadap keselamatan jalan raya dengan pemakaian tali pinggang keselamatan, pematuhan had laju, penggunaan telefon bimbit, memandu dengan bertimbang rasa dan sebagainya, pasti rakyat Malaysia mendapat manfaat yang amat besar dan sebahagian besar kehilangan nyawa dapat diselamatkan tanpa menunggu masa yang lama.

 

Oleh :

Prof. Madya Dr. Munzilah Md Rohani

Pusat Pemanduan Bijak (SDRC)

Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

 

Kredit foto : Borneo Today