Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina (FKAAB), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mengukuhkan lagi jaringan kerjasama dengan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) apabila diiktiraf sebagai badan penilai untuk menjalankan penilaian pematuhan projek perintis bagi produk industri perkhidmatan air di Malaysia.

Pengiktirafan ini adalah susulan daripada kunjungan pihak SPAN ke makmal dan fasiliti FKAAB pada 14 Julai 2020 lalu.

Menurut Profesor Madya Ts. Dr. Aeslina Abdul Kadir pengiktirafan tersebut membuktikan bahawa kredibiliti staf, kemudahan serta perkhidmatan yang ditawarkan oleh FKAAB adalah setanding agensi bertauliah yang lain dan menepati piawaian yang ditetapkan oleh pihak SPAN.

Beliau bersama empat ahli akademik, dua pegawai sains dan lima juruteknik makmal daripada kluster Kejuruteraan Air dan Persekitaran merupakan kumpulan yang bertanggungjawab dalam mendapatkan pengiktirafan tersebut.

Untuk rekod, SPAN merupakan sebuah badan kawal selia teknikal dan ekonomi yang berperanan untuk menyelia dan mengawal selia perkhidmatan bekalan air dan perkhidmatan pembetungan di Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Putrajaya dan Labuan.

Selain itu, SPAN juga mengawal selia kesemua entiti dalam industri air dan pembetungan termasuk operator perkhidmatan bekalan air dan pembetungan awam, operator perkhidmatan bekalan air dan pembetungan persendirian, kontraktor bekalan air dan pembetungan, pemegang permit dan kelulusan produk bagi bekalan air dan pembetungan.

“Sebagai badan penilaian pematuhan projek perintis bagi produk industri perkhidmatan air, FKAAB telah diberi kepercayaan untuk menilai keupayaan dan mengesahkan petunjuk prestasi sesuatu projek perintis sepertimana yang diluluskan oleh SPAN.

“Badan penilaian ini juga hendaklah memastikan bahawa perlaksanaan projek perintis dan pemasangan produk adalah mengikut spesifikasi dan tidak melanggar sebarang ketetapan yang disyaratkan oleh SPAN.

“Projek perintis ini juga perlulah dilaksanakan dalam keadaan yang selamat seperti yang disarankan oleh Jabatan Kesihatan dan Keselamatan Pekerjaan,” katanya.

Sementara itu Dekan FKAAB, Profesor Ir. Ts. Dr. Mohd Irwan Juki menzahirkan harapannya agar hubungan kerjasama dengan pihak SPAN dapat menjadikan fakulti ini sebagai badan penilai yang kompeten dan telus dalam melakukan penilaian pematuhan projek perintis produk industri perkhidmatan air, khususnya sistem bekalan air dan sistem pembetungan di bawah skim penstandardan produk SPAN.

Beliau juga berharap agar kerjasama ini dapat mendatangkan manfaat kepada kedua-dua pihak khususnya dalam perkhidmatan air di negara ini.