PAGOH – Seramai 864 pelajar baharu program diploma bagi sesi akademik 2020/2021 selesai mendaftarkan diri di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), kampus Cawangan Pagoh pada 4 dan 5 Ogos lalu.

552 daripada jumlah tersebut terdiri daripada pelajar lelaki manakala 312 lagi pelajar perempuan.

Kehadiran para pelajar dan ibu bapa ke kampus cawangan tersebut disambut oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTHM, Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad dan Provost UTHM Kampus Cawangan Pagoh, Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Kamarulzaki Mustafa. Mereka terus mendaftar masuk ke Kolej-kolej Kediaman Pagoh dengan kebiasaan baharu dan mengikut tatacara pengendalian piawai (SOP) yang telah ditetapkan.

Mereka kemudiannya mengikuti Minggu Transformasi Mahasiswa (MTM) juga secara norma baharu pada 4 hingga 7 Ogos ini sebelum memulakan kuliah semester khas yang dijadualkan berlangsung selama lapan minggu bermula 9 Ogos nanti.

Sementara itu Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly turut bertemu dan menyambut kedatangan pelajar baharu ketika berlangsungnya Majlis Ikrar Mahasiswa bersama Kepimpinan Universiti yang diadakan pada hari ini, 6 Ogos bertempat di kampus cawangan tersebut.

Menurut beliau, pihak universiti telah menetapkan kesemua pelajar baharu dan pelajar kanan yang kembali ke kampus akan menghadapi kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid iaitu PdP secara bersemuka atau secara atas talian ataupun secara gabungan kedua-duanya.

“Bagaimanapun, kaedah ini adalah tertakluk kepada pelaksanaan di fakulti dan pusat yang terlibat di kampus ini,” katanya.