BATU PAHAT – Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Profesor Dr. Mohd Shahir Shamsir Omar ditauliahkan dengan pangkat Penolong Pesuruhjaya Kanan RELA (Bersekutu) sekali gus dilantik sebagai Komander RELASIS UTHM dalam satu Majlis Penganugerahan Pangkat Bersekutu Pegawai RELASIS yang diadakan pada 27 Julai lalu bertempat di Dewan Sultan Ibrahim, kampus induk.

Prof. Shahir selaku Komander RELASIS UTHM yang baharu merakamkan rasa terima kasih beliau kepada pihak RELA Malaysia khususnya Bahagian Pembangunan Pasukan dan RELA Negeri Johor yang sentiasa memberikan kerjasama dan sokongan yang padu kepada RELASIS UTHM.

Beliau turut berterima kasih kerana diberi kepercayaan menggalas jawatan Komander dan berharap dapat memberi yang terbaik dalam memastikan RELASIS UTHM sentiasa aktif menjalankan peranan dan tanggungjawab yang diberi.

“Saya juga berharap agar Pegawai-pegawai Bersekutu RELASIS UTHM yang menerima lantikan semula ini dapat memastikan peranan RELASIS sebagai peneraju transformasi di peringkat kebangsaan dapat dilaksanakan dengan sebaiknya,” katanya.

Beliau yang mewakili RELASIS UTHM turut mengucapkan syabas kepada RELA Malaysia yang komited bertugas sebagai frontliners bagi membantu rakyat dan negara dalam mendepani cabaran pandemik Covid-19.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Pesuruhjaya Kanan RELA (PjKR) Zubir Mustaffa, Pengarah Bahagian Pembangunan Pasukan Ibu Pejabat RELA Malaysia merangkap wakil rasmi Pemangku Ketua Pengarah RELA Malaysia.

Hadir sama, Timbalan Pesuruhjaya RELA (TPjR) Hj Md Shah Rizal Zainal (Pengarah RELA Negeri Johor), Penolong Pesuruhjaya RELA (PPjR) Mohd Nazri Md Noor (Pegawai RELA Daerah Batu Pahat), Timbalan-timbalan Komander RELASIS UTHM, Komandan-komandan serta wakil Badan Beruniform UTHM, Pegawai-pegawai RELA Daerah, pegawai serta kakitangan RELA Daerah Batu Pahat dan Pegawai Bersekutu.

Sementara itu, PjKR Zubir dalam ucapannya turut mengucapkan tahniah kepada RELASIS UTHM selaku universiti awam (UA) dan institusi pengajian tinggi (IPT) yang pertama menubuhkan RELASIS dan kekal komited sehingga kini.

“Saya merasa bangga kerana pada tahun ini RELASIS UTHM menyambut ulang tahun yang ke-10 sekali gus membuktikan wujudnya usaha sama yang jitu antara RELA Malaysia dan RELASIS UTHM,” katanya.

Beliau berharap berkat kerjasama semua pihak selepas ini akan menggalakkan lagi pelbagai usaha penambahbaikan bagi memantapkan lagi RELASIS di peringkat kebangsaan.

Turut diadakan, penyerahan watikah lantikan kepada sembilan orang Pegawai Bersekutu RELASIS UTHM dan acara memotong kek bersempena sambutan Ulang Tahun RELASIS UTHM ke-10.

Untuk rekod, sejak penubuhan RELASIS UTHM pada 9 Julai 2010, seramai 2357 pelajar telah berjaya didaftarkan sebagai pelatih RELASIS manakala 204 pelatih telah berjaya ditauliahkan sebagai Pegawai Sukarelawan Muda.