Perolehan hijau dalam projek bantu pulih alam sekitar

Tahap kesedaran dan prestasi dalam melaksanakan projek berteraskan alam sekitar, ekonomi dan sosial semakin menjadi perdebatan hangat dalam industri pembinaan. Bukan sahaja di negara maju, malah Malaysia yang dianggap...

Tahap kesedaran dan prestasi dalam melaksanakan projek berteraskan alam sekitar, ekonomi dan sosial semakin menjadi perdebatan hangat dalam industri pembinaan. Bukan sahaja di negara maju, malah Malaysia yang dianggap sebagai sebuah negara membangun secara agresif dengan pembangunan infastruktur juga berdepan dengan cabaran ini.

Pembinaan lestari atau pembinaan hijau yang kian mendapat perhatian dalam kalangan pemain industri pembinaan merupakan satu konsep pembinaan yang mempromosikan pembangunan mesra alam sekitar, ekonomi, dan sosial. Namun begitu, perlaksanaan konsep ini juga berhadapan dengan cabaran dan memerlukan sokongan yang jitu dari pelbagai pihak.

Hal ini jelas kerana pembinaan lestari memerlukan amalan-amalan tertentu dalam pembinaan terutamanya dari segi pemilihan bahan yang telah dilabel hijau, sumber yang mesra alam sekitar, kaedah pembinaan serta reka bentuk. Ia juga penting dalam memastikan usaha untuk meningkatkan prestasi, mengurangkan beban projek terhadap alam sekitar, mengurangkan pembaziran sumber dan pembinaan yang lebih mesra alam dapat dicapai secara holistik.

Tambahan lagi, proses secara sistematik juga menjadi tunggak utama dalam memastikan kelancaran pelaksanaan pembinaan infrastruktur sama ada di bawah seliaan pihak kerajaan mahupun swasta. Terdapat beberapa sistem perolehan pembinaan yang biasa digunakan dalam projek pembinaan, antaranya sistem konvensional, reka dan bina, pengurusan projek dan juga sistem berteraskan hubungan kerjasama.

Lazimnya, pemilihan sistem perolehan bergantung kepada keperluan klien, jenis projek, tahap risiko yang ditanggung oleh klien, sumber serta struktur organisasi yang terlibat dalam projek pembinaan. Boleh dikatakan kebanyakkan projek pembinaan di sektor kerajaan menggunakan kaedah perolehan konvesional secara tender terbuka, selektif atau rundingan terus.

Ciri utama kaedah perolehan secara konvensional yang berperingkat dan berasingan di antara proses reka bentuk dan pembinaan dilihat menjadi faktor utama kepada jangka masa proses perolehan ini menjadi panjang dan lama. Jurang komunikasi antara pihak perunding dan pihak kontraktor yang terlibat turut menyumbang kepada berlakunya pertikaian dalam projek pembinaan yang menggunakan sistem perolehan konvensional ini.

Berdasarkan situasi ini, perolehan hijau kerajaan (Government Green Procurement) telah diperkenalkan bagi mengatasi masalah dalam perolehan konvensional terutama di sektor kerajaan. Garispanduan perolehan hijau kerajaan yang bakal diperkasakan merupakan usaha kerajaan dalam menggalakkan penggunaan produk dan servis bercirikan hijau atau lestari di negara ini. Selain itu, ia juga salah satu langkah pihak kerajaan dalam mencapai teras utama di dalam Pelan Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020 ke arah pembangunan yang lebih lestari.

Perolehan hijau kerajaan untuk produk dan perkhidmatan terpilih telah diperkenalkan di Malaysia pada tahun 2012 oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air yang mana ia selaras dengan penubuhan Dasar Teknologi Hijau Negara yang menjadi pemangkin kepada pertumbuhan teknologi hijau di negara ini. Pada tahun 2018, garis panduan GGP 2.0 diterbitkan untuk bertindak sebagai rujukan terkini, merangkumi 20 kriteria GGP untuk produk dan perkhidmatan hijau, seperti peralatan ICT, sistem Penyaman udara, dan perkhidmatan pembersihan.

Dengan wujudnya perolehan hijau kerajaan ini, ia dijangka dapat memberi isyarat kepada semua pemain industri yang mana keperluan menitikberatkan konsep hijau adalah penting untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar yang berlaku akibat daripada proses pembangunan yang tidak mengambil berat aspek kesan terhadap alam sekitar sebelum ini. Pelaksanaan perolehan produk dan perkhidmatan berasaskan kepada keperluan juga merupakan usaha dalam mengelakkan pembaziran daripada terus berlaku.

Usaha kerajaan memperkasakan amalan perolehan secara inovatif ini harus diberi pujian. Ia jelas membuktikan kerajaan begitu serius dalam meningkatkan kualiti pemuliharaan alam sekitar dan kehidupan masyarakat secara komprehensif. Inisiatif ini tidak hanya tertumpu kepada alam sekitar tetapi turut menggalakkan penggunaan dan pengeluaran produk hijau dengan efektif.

Tambahan daripada itu, Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) juga menyatakan bahawa perolehan hijau kerajaan ini mampu menggalakkan pembangunan industri hijau tempatan. Justeru itu, industri tempatan berpeluang untuk terus bersaing dalam pengeluaran berasaskan produk dan perkhidmatan bercirikan hijau. Secara tidak langsung ia turut membantu pengeluar tempatan memasarkan produk inovatif bercirikan hijau di dalam mahupun di luar negara dengan lebih meluas.

Pelbagai inisiatif telah diperkenalkan ke arah merealisasikan pelaksanaan perolehan hijau kerajaan dalam menyokong hala tuju Malaysia ke arah pembangunan lestari. Pelan Induk Industri Pembinaan 2006-2015 telah menggariskan kepentingan memulihara alam sekitar dalam melaksanakan sesuatu pembangunan. Selain

itu, Polisi Teknologi Hijau Kebangsaan, Perolehan MyHijau, dan pH-JKR antara usaha kerajaan dalam memastikan perolehan hijau dapat dilaksanakan secara berkesan.

Bukan itu sahaja, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) juga telah merangka pelbagai pelan dan rancangan dalam menyokong pelaksanaan perolehan hijau kerajaan ini. Antaranya, pada tahun 2010, Jawatankuasa Teknikal Amalan Terbaik Teknologi Hijau Dalam Industri Pembinaan telah ditubuhkan yang terdiri daripada pihak profesional dalam industri pembinaan. Penubuhan jawatankuasa ini membantu pihak Lembaga Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dalam menyediakan manual, garis panduan dan Standard Industri Pembinaan yang berkaitan teknologi hijau dalam industri pembinaan.

Bagi melengkapkan lagi usaha ini, program berkaitan teknologi hijau yang semakin giat dijalankan oleh pihak CIDB termasuklah program pelabelan hijau bagi produk pembinaan yang dikenali sebagai CIDB Green Label. Objektif utamanya adalah untuk menggalakkan pengeluaran produk binaan yang berkonsep hijau atau mesra alam oleh pengeluar bahan binaan di negara ini.

Walaupun realitinya perolehan hijau kerajaan masih belum diaplikasikan secara formal di mana-mana projek pembinaan di Malaysia, namun usaha awal ini perlu dijunjung secara konsisten dan menyeluruh. Pada peringkat awalnya ia mungkin sedikit ‘canggung’ untuk diamalkan, namun lama kelamaan ia akan menjadi ‘alah bisa tegal biasa.’ Usaha dalam meletakkan Malaysia setanding dengan negara-negara maju seperti Amerika Syarikat, United Kingdom, Australia, Jepun dan Singapura yang semakin gah mengamalkan pembinaan berteraskan alam sekitar, ekonomi dan sosial ini, kerjasama yang erat dari kerajaan, pemain industri, dan ahli akademik perlu dimantapkan lagi. Hal ini penting bagi menepis halangan-halangan dalam usaha untuk memperkasakan amalan perolehan hijau kerajaan di negara ini dengan lebih efektif.

 

Oleh:

*Profesor Madya Dr. Md. Asrul Nasid Masrom

Ketua Kumpulan Fokus- Sustainable Infrastructure Management

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan, UTHM

 

*Muhammad Aizat Salehudin (Alumni UTHM)

Jurutera Tapak

TME Builders Sdn.Bhd.

 

*Sr Dr Asmah Alia Mohamad Bohari

Koordinator Program,

Jabatan Ukur Bahan,

UiTM Cawangan Sarawak

 

 

Kredit foto : ibrahimkomoo.com/pembinaan lestari

 

Categories
E-WacanaRencana

RELATED ARTICLE