Bertemakan “Building Academic Resilience in the Post COVID-19 World,” Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pejabat Antarabangsa berjaya menganjurkan program Asia Technological University Network (ATU-Net) Virtual University Presidents Forum 2020 (VUPF) Series 2 pada 12 Ogos lalu bertempat di Perpustakaan Tunku Tun Aminah, kampus induk.

Program dengan kerjasama Pusat Hubungan Industri dan Masyarakat (ICRC) ini merupakan “Signature Program” tahunan bagi ATU-Net yang menghimpunkan presiden dan naib canselor universiti teknologi di Asia khasnya dan dunia amnya. Ia bertujuan untuk membincangkan dan bertukar fikiran berkaitan isu dan perancangan pengukuhan serta idea pembangunan umum institusi pengajian tinggi (IPT) dan bagaimana IPT boleh memainkan peranan dengan lebih berkesan dalam era pasca COVID-19.

Menteri Pengajian Tinggi, Dato’ Dr. Noraini Ahmad selaku pengucaptama pertama menzahirkan penghargaannya atas kejayaan penganjuran program kali ini. Katanya program ini adalah selari dengan objektif Pelan pembangunan pendidikan Malaysia Pendidikan tinggi (PPPM PT) dalam melonjakkan pengantarabangsaan universiti di Malaysia.

“Pihak Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) sentiasa memberi galakan dan menyokong segala usaha universiti di Malaysia dalam meningkatkan jaringan kerjasama antarabangsa dengan universiti lain di seluruh dunia,” katanya.

Beliau turut menegaskan bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) perlu dipertingkatkan lagi dengan pendekatan pengajaran dan pembelajaran yang berteknologi digital selari dengan keperluan IR4.0.

Sementara itu, Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly selaku pengucaptama kedua juga menekankan kepentingan kerjasama antara institusi kebangsaan dan antarabangsa dengan menegaskan setiap IPT mampu mengharungi cabaran COVID-19 atau tidak adalah bergantung kepada bagaimana mereka berganding bahu dalam menghadapi dan mencari penyelesaian terbaik secara bersama.

“Kesulitan sebenarnya adalah satu peluang kepada semua institusi dan setiap satunya harus mencari jalan dan kaedah dengan lebih kreatif dan inovatif bagi memastikan setiap institusi mempunyai daya tahan yang tinggi dan seterusnya mampu melangkah jauh ke hadapan,” katanya.

Siri kedua VUPF kali ini juga menampilkan beberapa tokoh dalam dunia akademik dan juga industri. Turut serta sama berkongsi idea dan pengalaman dalam program ini, Profesor Dr. Dayang Hajah Zohrah Hj Sulaiman, Naib Canselor Universiti Teknologi Brunei; Dato’ Bruce Lim, Pengarah Urusan JDMas Commerce; Profesor Dr. Chun Fai Leung, Presiden International Press-in Association (IPA), Jepun dan Profesor Dr. Ismail Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTHM. Manakala Moderator bagi program ini ialah Profesor Dr. Abdul Aziz Abdul Samad dari Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, UTHM.

Pihak universiti berharap penganjuran program seumpama ini dapat memberi impak yang besar kepada setiap universiti yang terlibat dalam meningkatkan daya tahan dan mencari langkah inovatif terbaik dalam era selepas COVID-19 sekali gus berupaya menghadapi apa sahaja cabaran yang serupa pada masa hadapan.