Dilema penghuni bandar

Bandar dan masyarakat tidak dapat dipisahkan. Bandar wujud kerana adanya proses pembandaran sama  ada terancang atau semula jadi akibat tindakan manusia. Bandar mempunyai pelbagai takrifan. Sesetengah sarjana mendefinisikan bandar...

Bandar dan masyarakat tidak dapat dipisahkan. Bandar wujud kerana adanya proses pembandaran sama  ada terancang atau semula jadi akibat tindakan manusia. Bandar mempunyai pelbagai takrifan. Sesetengah sarjana mendefinisikan bandar sebagai satu kawasan yang mempunyai tumpuan penduduk, aktiviti ekonomi yang pesat seperti perindustrian, perkilangan, perniagaan dan perkhidmatan. Manakala ahli geografi mentakrifkan bandar dengan lebih objektif iaitu suatu kawasan yang mempunyai kapasiti penduduk yang tinggi (Malaysia menggunakan angka melebihi 10,000 orang), penduduk tidak terikat dengan aktiviti pertanian, mempunyai intensiti pembangunan yang tinggi, infrastruktur yang pelbagai dan lengkap dan ditadbir oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Sejak sekian lama, bandar telah memainkan peranan yang sangat penting dalam pembangunan negara. Bandar berperanan penting menyumbang dari aspek pertumbuhan sosioekonomi di sekitarnya. Walau bagaimanapun, proses perbandaran yang berlaku di negara ini antara lain adalah mengikut perancangan kerajaan iaitu bagi menyedia dan memastikan penduduk menikmati pembangunan yang selesa dan memenuhi kualiti hidup masyarakat.

Menyorot kembali sejarah perkembangan bandar di Malaysia, ianya bermula berasaskan faktor ekonomi  oleh Kolonial Inggeris di negeri-negeri yang telah ditadbir sebagai pusat pentadbiran. Pembangunan bandar secara moden ringkasnya mengalami beberapa fasa iaitu:

  • Fasa I –Semasa penjajahan dan pemerintah British;
  • Fasa II-Dalam tempoh pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru (DEB) 1970-1980);
  • Fasa III- Dasar Pembangunan Nasional dan Dasar Wawasan Negara (DWN) dan seterusnya.

Sebagai pusat perkembangan ekonomi negara, bandar menjadi tumpuan penduduk untuk berhijrah bagi mendapatkan pekerjaan. Negara menyaksikan penghijrahan golongan belia secara besar-besaran ke bandar-bandar utama di Malaysia sekitar 1970an dan 1980an untuk bekerja di Kuala Lumpur, Pulau Pinang dan Johor Baharu. Penghijrahan secara beramai-ramai telah menyebabkan bandar menjadi kawasan yang padat dengan penduduk. Penduduk serta pertumbuhan petempatan yang padat boleh mengundang kepada pelbagai masalah di bandar.

Setelah sekian lama, bandar telah memainkan peranan sebagai pusat perkembangan ekonomi dan habitat manusia.  Rentetan itu, aspek kedinamikan dan kelestarian telah mula menarik perhatian sosiologi bandar dan akademik bagi memastikan bandar dan masyarakatnya mempunyai kehidupan yang lestari di bandar.

Walau bagaimanapun, realitinya agak sukar untuk mempertahankan kelestarian dan kelangsungan hidup masyarakat yang berkualiti di bandar. Lewat kebelakangan ini, pelbagai isu sering kali dipaparkan di media massa berkenaan masalah penduduk dan alam sekitar di bandar.   Isu kesesakan lalu lintas, pencemaran udara, pengurusan sampah sarap, pencemaran bunyi dan kemerosotan kualiti air merupakan antara isu yang tidak pernah selesai. Saban waktu masyarakat bandar terpaksa berhadapan dengan pelbagai masalah persekitaran yang seolah-olah tiada kesudahan.

Tidak dapat dinafikan keadaan persekitaran yang merosot secara langsung akan menjejaskan kualiti hidup warga bandar. Di samping masalah alam sekitar fizikal, kemerosotan persekitaran budaya pula digambarkan dengan pelbagai masalah sosial dan meningkatnya kejadian jenayah serta pelbagai isu lambakan warga asing yang membanjiri sesetengah kawasan seperti di Selayang, Kuala Lumpur dan Cyberjaya. Kemasukan migran telah memberi pandangan estetik yang buruk dengan pertumbuhan setinggan yang telah memusnahkan persekitaran akibat pembersihan kawasan hijau untuk pembinaan rumah, peningkatan pengangguran dan persaingan pekerjaan terhadap belia tempatan, jenayah sosial dan sebagainya.

Masalah ini telah mewujudkan dilema habitat di bandar. Penduduk terpaksa berhadapan dengan masalah persekitaran dan tiada pilihan. Keadaan akan turut memberi kesan daripada aspek psikologi manusia. Manusia yang sentiasa terdedah kepada konflik dan dilema berkemungkinan tinggi akan menghadapi “tekanan” dan “kemurungan”. Oleh sebab itu, kita dapati pada hari ini ramai “warga kota” lebih selesa memilih untuk tinggal di pinggir-pinggir bandar. Contohnya mereka yang bekerja di Kuala Lumpur, lebih selesa untuk membeli dan menyewa rumah di sekitar Semenyih, Seremban ataupun Negeri Sembilan. Tujuannya adalah bagi mengelak kesesakan lalu lintas serta konflik kehidupan bandar yang tenat.

Dilema yang dihadapi oleh masyarakat bandar kian bertambah parah, sekiranya pembangunan bandar mengetepikan aspek kelestarian alam sekitar. Dalam konteks pembangunan bandar, ianya memerlukan perancangan yang teliti. Aspek perancangan memainkan peranan yang sangat penting. Perancangan tersebut mestilah bersifat masa hadapan yang mempunyai visi dan misi bagi mewujudkan bandar sebagai habitat yang sesuai untuk didiami oleh penghuninya. Keadaan ini jika tidak ditangani dengan bijak akan berterusan menyumbang kepada pelbagai masalah persekitaran kepada penghuninya. Oleh yang demikian, pentingnya di pihak perancangan memastikan bandar merupakan sebuah habitat yang menyumbang kepada kelestarian alam sekitar dan kualiti hidup masyarakat.

 

 

Profesor Madya Dr. Haryati Shafii

Pensyarah Pengurusan Persekitaran,

Jabatan Pengurusan Pembinaan,

Fakulti Pengurusan Teknologi Dan Perniagaan,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Sumber foto : Utusan Online

Categories
E-WacanaPengurusan Teknologi PerniagaanRencana

RELATED ARTICLE