Pada 31 Disember 2019, World Health Organization (WHO) telah mengisytiharkan Covid-19 yang telah menular hampir ke seluruh dunia sebagai wabak atau pandemik yang boleh menjangkiti dan membunuh manusia. Pada ketika itu, wabak ini telah menular hampir ke seluruh dunia. Sehingga kini penularan wabak ini masih berleluasa dan menjadi ancaman utama dunia. Kesihatan dan keselamatan persekitaran adalah dua entiti yang saling melengkapi. Keselamatan dilihat sebagai keadaan bahaya yang mendorong kepada kecederaan dan kehilangan nyawa. Manakala keselamatan persekitaran merupakan satu keadaan yang mana persekitaran manusia yang terdiri daripada persekitaran fizikal (alam sekitar) dan persekitaran manusia (budaya) berada dalam keadaan selamat dan terjamin bagi meneruskan kelangsungan hidup. Jelasnya, keselamatan persekitaran adalah penting bagi melindungi risiko dan bahaya untuk kesejahteraan kesihatan.

Isu yang cuba diketengahkan oleh penulis ialah untuk melihat sejauh mana usaha dan persediaan pihak kerajaan dalam menghadapi pasca Covid-19 bagi meningkatkan kesejahteraan hidup masyarakat. Seperti yang dimaklumi umum bahawa penyakit pandemik Covid -19 telah memberi kesan bukan sahaja daripada aspek ekonomi masyarakat dan negara dunia bahkan turut memberi impak terhadap keselamatan persekitaran manusia. Persoalannya bagaimana, apakah persediaan dan tindakan daripada pihak kerajaan dalam menguruskan keselamatan persekitaran pasca Covid-19 ke arah kesejahteraan hidup masyarakat? Kenyataan ini wajar diperhalusi kerana kerakusan penularan wabak Covid-19 dilihat mengancam keseluruhan aktiviti manusia, termasuk kemerosotan tahap kesihatan, kualiti hidup, kestabilan sosial serta ekonomi negara-dunia secara keseluruhan.

Pengaruh kesihatan terhadap keselamatan manusia boleh dirujuk kepada keadaan persekitaran semasa yang paling dasyat iaitu ancaman wabak pandemik yang sedang melanda di seluruh dunia. Implikasi bencana penyakit Covid- 19 telah melanda seluruh dunia dan hampir tiada negara yang tidak dijangkiti penyakit ini. Serangan virus ini bukan sahaja boleh mengakibatkan kematian, bahkan boleh mengesani sistem ekonomi seluruh dunia termasuk negara-negara maju di Eropah seperti Amerika Syarikat, Jerman, United Kingdom dan Itali, dan tidak terkecuali Malaysia. Statistik yang dikeluarkan oleh WHO menunjukkan bahawa benua Eropah mencatatkan angka kes terbanyak dengan 452, 978 kes dengan 29912 kematian, manakala negara di Asia Barat merekodkan sebanyak 3008 kematian daripada 55 578 kes keseluruhan (Berita Harian, 2020).

Berdasarkan statistik di atas, jelas menunjukkan pandemik Covid-19 telah menggugat kesihatan dan keselamatan manusia secara keseluruhan. Penularan wabak yang mudah iaitu berlaku secara melalui sentuhan langsung dan tidak langsung kepada pesakit. Justeru, sebagai usaha mengekang penularannya, banyak negara dan tidak terkecuali Malaysia telah melancarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Penjarakan sosial antara manusia jelas menjadi alternatif yang paling berkesan bagi mengurangkan bilangan kes aktif dan kematian akibat wabak ini.

Dalam menghadapi situasi yang runcing ini, kita sangat berharap agar pihak pembuat dasar  bertindak proaktif dengan membangunkan “Kerangka Pengurusan Keselamatan Persekitaran Pasca Covid -19 Untuk Meningkatkan Kesejahteraan Hidup Masyarakat”, Malaysia khususnya. Jika sebelum ini, kerajaan amat fokus terhadap perkembangan ekonomi keluarga dan negara. Pelbagai pelan pemulihan, rangsangan dan pembangunan ekonomi dilancarkan, namun dari sudut lain terutamanya dalam mendepani persekitaran, pelan pengurusan keselamatan persekitaran seolah kurang diketengahkan. Dalam mendepani pelbagai cabaran, pergolakan dan krisis ekonomi dunia, kita tidak mahu pihak pembuat dasar hanya memfokuskan aspek tertentu sahaja umpamanya aspek ekonomi dan sosial, tetapi aspek-aspek lain umpamanya alam sekitar, pengangkutan, dan sebagainya kurang ditekankan. Ini kerana penilaian kualiti hidup masyarakat akan mengambil kira semua aktiviti dan aspek tindakan manusia berhubung dengan persekitaran. Kita bimbang keciciran dalam mengetengahkan isu persekitaran memberi impak kepada pembangunan lestari negara di masa akan datang.

Cadangan pembentukan kerangka pengurusan pasca Covid- 19 untuk kesejahteraan hidup masyarakat adalah menepati teori keperluan yang diperjuangkan oleh Maslow (1970). Beliau menyatakan bahawa keperluan asas manusia iaitu seperti makan, minum, pakaian, tempat tinggal dan keselamatan merupakan aspek-aspek yang perlu diperoleh oleh manusia sebagai asas kehidupan.  Keperluan asas manusia ini bagi memastikan mereka perlu bersifat selesa dan kondusif. Hierarki keperluan Maslow menyatakan terdapat lima peringkat keperluan yang menunjukkan peringkat-peringkat dalam keperluan manusia iaitu keperluan fisiologi, keperluan keselamatan, keperluan sosial dan penerimaan keperluan penghargaan dan keperluan pencapaian hasrat diri. Justeru, aspek keperluan keselamatan diri dan masyarakat bukan lagi satu pilihan atau sampingan ialah adalah keperluan asas yang perlu diperjuangkan oleh setiap individu.

Adalah penting kerajaan merangka satu pelan strategi pasca Covid-19 bagi memastikan masyarakat yang terkesan dengan wabak dan PKP dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan lancar dan lebih baik. Namun, sebelum itu pihak kerajaan perlu mengenal pasti keperluan dan kehendak rakyat bagi memastikan tiada yang tercicir dalam kalangan mereka dalam arus pembangunan perdana.

Kerangka ini perlu memfokuskan pengurusan keselamatan persekitaran pasca Covid- 19 akan melihat secara objektif akan kepentingan persekitaran masyarakat iaitu yang terdiri daripada persekitaran fizikal (alam sekitar) dan persekitaran manusia (budaya) diberi perhatian. Keselamatan persekitaran fizikal yang berkaitan rapat dengan manusia iaitu air, udara, tanah dan tumbuhan serta persekitaran manusia iaitu hubungan manusia dengan persekitaran mereka perlu diuruskan dengan baik bagi meningkatkan kesejahteraan hidup mereka. Penekanan kerajaan dalam aspek ini akan menyumbang kepada kesejahteraan persekitaran secara keseluruhan.

 

 

Profesor Madya Dr. Haryati Shafii

Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan,

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

Gambar ehsan *Google