Batu Pahat – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah melaksanakan penjualan Pre-Booking nombor Plat Kenderaan Khas Siri ‘UTHM’ bermula Februari lalu sebagai salah satu usaha menjana pendapatan sendiri.

Inisiatif ini selaras dengan saranan kerajaan yang mahukan setiap universiti awam (UA) berusaha menjana pendapatan sendiri bagi mengurangkan bebanan tanggungan kewangan dalam bidang pendidikan tinggi di Malaysia.

Pusat Wakaf dan Endowmen, UTHM telah diberi peranan menggalas tanggungjawab menjual nombor plat khas terbabit yang melibatkan 9999 nombor.

Menurut Pengarahnya, Profesor Sr. Dr. Wan Zahari Wan Yusoff nombor-nombor tersebut akan dijual secara EBIDA kepada staf, ALUMNI, pelajar dan orang awam.

Untuk rekod, nombor Plat Kenderaan pertama hasil Pre-Booking terdahulu telah berjaya didaftarkan dengan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di Johor Baharu pada 30 Jun lalu.

Tambah beliau, pihaknya amat berharap warga universiti khususnya turut sama menyokong usaha UTHM dengan membeli nombor Plat khas kenderaan siri UTHM ini.

“Terima kasih diucapkan kepada warga UTHM yang telah menyokong penuh inisiatif ini dalam menjana pendapatan universiti,” katanya.