Pelajar baharu program diploma ikuti kuliah secara hibrid bermula Ogos 2020

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mula menerima kemasukan pelajar baharu program diploma bagi sesi akademik 2020/2021 pada 4 Ogos akan datang. Naib Canselor, Profesor Datuk...

BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) mula menerima kemasukan pelajar baharu program diploma bagi sesi akademik 2020/2021 pada 4 Ogos akan datang.

Naib Canselor, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly memaklumkan proses pendaftaran pelajar baharu dan pelajar kanan bagaimanapun akan dilakukan secara berperingkat dan tetap tertakluk kepada arahan daripada kementerian.

Menurut beliau, bermula 4 hingga 10 Jun lalu calon pelajar menerima tawaran kemasukan ke universiti ini dan mula membuat pembayaran yuran serta melengkapkan maklumat peribadi bagi membolehkan status sebagai pelajar diaktifkan secara automatik.

UTHM turut menetapkan tarikh 4 hingga 5 Ogos akan datang sebagai tarikh pendaftaran calon pelajar bagi program diploma, bertempat di kolej kediaman Pagoh.

Selepas pendaftaran berlangsung, para pelajar baharu tersebut akan mengikuti Minggu Transformasi Mahasiswa (MTM) pada 4 hingga 7 Ogos akan datang sebelum memulakan kuliah semester khas yang dijadualkan berlangsung selama lapan minggu bermula 9 Ogos nanti.

Tambah Datuk Wahid, bagi memastikan segala urusan berjalan lancar, UTHM akan memastikan proses pendaftaran dan pembelajaran pada sesi kali ini sentiasa mematuhi sepenuhnya tatacara pengendalian piawai (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan pihak berkuasa yang lain.

“Pihak kami akan cuba memastikan warga kampus mengutamakan kebersihan diri, langkah keselamatan serta penjarakan sosial, selain turut mengikut arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa,” katanya.

Untuk rekod, kesemua pelajar baharu dan pelajar kanan yang akan kembali ke kampus akan menghadapi kaedah pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara hibrid iaitu PdP secara bersemuka atau secara atas talian ataupun secara gabungan kedua-duanya. Kaedah ini adalah tertakluk kepada pelaksanaan di fakulti dan pusat yang terlibat di kampus ini.

Categories
AkademikHal Ehwal Pelajar

RELATED ARTICLE