Ketika kita menghadapi tempoh PKP ini, ramai orang diuji dengan pelbagai ujian. Ada di antara mereka yang bekerja dari rumah dan masih bergaji, ada yang hilang mata pencarian, ada yang terpaksa berjauhan dengan keluarga mahupun pasangan dan ada yang terpaksa bertungkus lumus bekerja sebagai pasukan barisan hadapan negara bagi mengekang penularan wabak Covid-19.Di sebalik ujian yang datang tanpa dipinta ini, terdapat hikmah tersembunyi yang patut kita renungkan kembali.

  1. Rindu Ibu-bapa

Bagi mahasiswa/i yang masih kekal berada di kampus tentunya rindu yang sangat mendalam kepada ibu bapa dan ahli keluarga yang berjauhan dari mereka. Masa inilah teringatkan masakan ibu yang paling sedap seperti ikan singgang, asam pedas dan masak lemak cili padi. Maklumlah tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula dari 18 Mac sehingga kini masih tidak dapat pulang bersua muka bersama ahli keluarga tercinta. Sedar atau tidak, perpisahan sementara yang memakan masa lebih sebulan ini mampu membuahkan rasa sayang dan rindu yang menebal terhadap ibu, ayah dan keluarga yang ditinggalkan.

Bagi menghilangkan rindu, para mahasiswa boleh menghubungi ibu bapa secara lebih kerap sama ada melalui panggilan telefon atau video untuk berkongsi cerita. Khabarkan berita gembira kepada ibu dan ayah agar mereka merasa lega dan yakin kebajikan anak-anak mereka sentiasa dijaga oleh pihak universiti.

Kekal berada di universiti juga ada kebaikannya kerana kemudahan yang diberikan serba lengkap dengan akses internet (WiFi) dan kemudahan bantuan P&P yang lebih baik berbanding berada di rumah masing-masing. Kecapi masa ini untuk meningkatkan usaha bagi mendapatkan keputusan peperiksaan yang lebih baik dan cemerlang. Di samping itu, boleh juga luangkan masa menyertai aktivitivi sukarelawan dengan membantu jawatankuasa kolej kediaman untuk mengagihkan bekalan makanan dan minuman kepada para pelajar sekiranya berkesempatan.

  1. Rindu Solat Berjemaah di Surau dan Masjid

Hampir sebulan kita tidak dapat mengerjakan solat berjemaah di surau atau di masjid akibat PKP termasuklah solat Jumaat. Memang agak menyedihkan apabila melihat masjid dan surau dibiarkan kosong sunyi sepi, yang ada hanyalah laungan azan. Namun begitu ada perkara yang masih boleh kita syukuri kerana kita masih boleh melaksanakan solat berjemaah bersama ahli keluarga. Inilah masanya ibu bapa dapat meluangkan masa yang secukupnya untuk menguji pengetahuan anak-anak tentang bacaan di dalam solat. Sekiranya ada anak kita yang sebelum ini belajar menghafaz ayat-ayat suci di sekolah, inilah masanya untuk ibu bapa menguji hafazan  mereka. Anak lelaki boleh diminta menjadi imam bagi solat Subuh, Maghrib dan Isyak secara berjemaah. Lagi bagus terus menjadi imam untuk solat tarawih sempena bulan Ramadan yang bakal menjelang. Di samping itu, waktu ini juga bolehlah mengajak ahli keluarga bersama-sama meningkatkan amalan ibadah dengan membaca Al-Quran dan memperbaiki tajwid dari semasa ke semasa. Tentunya anak-anak kita rasa lebih dihargai dan dapat memanfaatkan tempoh PKP ini dengan aktiviti yang berfaedah.

  1. Galakan Amalan Bersedekah dan Berkongsi Rezeki

Di media sosial dan media massa arus perdana ada memaparkan NGO dan orang perseorangan yang membantu menyediakan makanan secara percuma untuk petugas-petugas barisan hadapan negara seperti staf perubatan, polis, tentera, bomba dan sebagainya sepanjang tempoh PKP ini. Amalan ini jarang dapat dilihat pada hari-hari biasa. Golongan yang kurang bernasib baik patut diberi perhatian dan bantuan untuk mereka meneruskan kelangsungan hidup. Inilah masa yang sesuai untuk kita sama-sama berkongsi rezeki terutama kepada golongan yang memerlukan. Kita boleh membantu peniaga-peniaga kecil dengan membeli makanan atau bahan mentah yang dijual secara online untuk kegunaan sendiri dan juga boleh bersedekah kepada jiran-jiran terdekat. Penulis tertarik dengan berita seorang pengusaha katering yang sebelum ini bersedekah di masjid pada setiap solat Jumaat telah menukar kaedah sedekahnya dengan menyediakan makanan tengahari percuma pada hari Jumaat sepanjang PKP untuk masyarakat setempat.  Beliau menggunakan kaedah “take away” atau pandu lalu untuk mengedarkan bungkusan makanan. Bagi golongan B40 dan M40 yang mendapat Bantuan Prihatin Nasional (BPN), rancanglah perbelanjaan masing-masing dengan baik kerana tempoh PKP ini sukar dijangka bila ianya akan berakhir.

Marilah kita sama-sama berdoa agar wabak COVID-19 ini akan menemui penamatnya dengan kadar segera. Kita perlu bersama-sama bersatu hati membendung wabak ini daripada terus menular dengan cara terus kekal berada di rumah, menjaga kebersihan diri dan mengamalkan penjarakan sosial. Kita mempunyai peluang yang tipis tapi kita mampu mengubahnya..kita jaga kita!

 

 

Nor Azezee Ahmad

Pegawai Perhubungan Awam

Pejabat Pemasaran dan Komunikasi Korporat