Covid-19: Perlu atau tidak melakukan perjalanan semasa tempoh PKP?

Melakukan perjalanan dari satu tempat ke satu tempat adalah salah satu aktiviti penting dalam menghadapi tugas dan tanggungjawab harian. Ianya juga menjadi satu kemestian terutama pada musim cuti sekolah...

Melakukan perjalanan dari satu tempat ke satu tempat adalah salah satu aktiviti penting dalam menghadapi tugas dan tanggungjawab harian. Ianya juga menjadi satu kemestian terutama pada musim cuti sekolah bagi mengisi masa yang ada dengan aktiviti menarik seperti menziarahi keluarga dan sahabat handai mahupun aktiviti rekreasi.

Namun begitu sejak pandemik Covid-19 melanda negara, kerajaan telah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bertujuan mengekang dan memutuskan rantaian wabak ini bagi semua kluster yang dikenalpasti. Persoalannya adakah kita masih ingin melakukan perjalanan seperti biasa?Jawapannya mungkin “Jangan lakukan perjalanan” ataupun mungkin “Saya masih perlu melakukan perjalanan penting.”

Sejak arahan PKP diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, seluruh rakyat di negara ini dinasihatkan untuk duduk di rumah dan mengurangkan perjalanan mereka. Arahan ini adalah yang terbaik bagi memutuskan rantaian Covid-19 demi memastikan rakyat Malaysia berada dalam keadaan yang selamat daripada jangkitan virus ini.

Arahan PKP ini secara tidak langsung memberikan beberapa kesan positif kepada negara antaranya dapat mengurangkan risiko masyarakat mengalami kemalangan jalan raya, kesan daripada pengurangan jumlah kenderaan yang digunakan oleh individu.

Walaubagaimanapun kerana tuntutan tugas dan tanggungjawab harian, kita tetap perlu melakukan perjalanan untuk meneruskan kelangsungan hidup contohnya seperti perlu bergerak untuk mendapatkan bekalan makanan dan perkhidmatan perubatan. Begitu juga dengan pekerja yang perlu bergerak dari kediaman masing-masing ke tempat kerja terutama yang melibatkan pasukan hadapan negara dan industri penting seperti industri perkhidmatan penghantaran serta perkhidmatan air dan elektrik. Mereka perlu beroperasi seperti biasa agar perkhidmatan tidak tergendala demi memastikan hidup rakyat Malaysia dalam tempoh PKP ini tidak terganggu. Oleh itu berikut dikongsikan beberapa tips untuk diamalkan jika anda perlu melakukan perjalanan keluar rumah dalam tempoh ini.

  1. Sentiasa memeriksa kenderaan agar dalam keadaan baik

Walaupun dalam tempoh PKP kita tidak digalakkan keluar dari rumah, adalah penting untuk memastikan kenderaan sentiasa berada dalam keadaan baik. Ini kerana sekiranya berlaku kes kecemasan atau perjalanan perlu dilakukan bagi tujuan yang dibenarkan, kenderaan persendirian amat diperlukan. Sekiranya kenderaan tiba-tiba rosak, ia akan menyukarkan pemiliknya kerana tidak semua perkhidmatan bengkel kenderaan atau kedai alat ganti kenderaan dibuka dalam tempoh ini. Oleh itu anda boleh sentiasa hidupkan enjin kenderaan bagi mengaktifkan bateri dan memeriksa keadaan tayar.

  1. Rancang perjalanan anda

Elakkan keluar pada waktu puncak untuk mengurangkan risiko berada dalam kawasan yang ramai orang. Waktu puncak adalah waktu di mana ramai orang keluar pada waktu yang sama bagi menyelesaikan urusan masing-masing. Mengelakkan keluar pada waktu puncak bukan sahaja dapat memendekkan masa urusan malah mengurangkn pendedahan kepada virus Covid-19.

  1. Elakkan dari melakukan perjalanan jika tidak berkeperluan

Banyak cara boleh dilakukan untuk mengelakkan dari melakukan perjalanan. Di zaman dunia di hujung jari ini, terdapat pelbagai perkhidmatan atas talian yang ditawarkan contohnya seperti perkhidmatan perbankan internet, khidmat penghantaran makanan dan pembelian atas talian. Menggunakan perkhidmatan atas talian ini akan dapat mengurangkan keperluan untuk keluar rumah. Selain itu, anda masih boleh menjalankan aktiviti perniagaan masing-masing tanpa perlu pergi ke premis perniagaan. Gunakan telefon atau komputer bersama internet untuk memasarkan produk anda kerana ianya lebih menjimatkan tenaga dan masa selain lebih selamat.

  1. Jika masih perlu melakukan perjalanan, jaga keselamatan anda

Jika masih terpaksa melakukan perjalanan, pandulah dengan selamat mengikut had kelajuan yang dibenarkan selain tidak lupa untuk membawa bersama topeng muka dan cecair pembasmi kuman (hand sanitizer). Sekiranya tiada pembasmi kuman pastikan anda membawa sebotol air dan sabun untuk membasuh tangan selepas melakukan aktiviti luar. Membawa air dan sabun adalah lebih murah dan efektif.  Anda juga perlu sentiasa peka dengan arahan dan garis panduan kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang meminta agar tidak menyentuh bahagian muka dan mata serta sentiasa menjaga jarak sosial dengan orang lain.

  1. Sentiasa patuh dengan arahan PKP

Arahan PKP menetapkan hanya seorang sahaja boleh berada dalam kenderaan persendirian dalam satu-satu masa. Anda hanya dibenarkan melakukan perjalanan dalam radius kurang dari 10km sepanjang tempoh PKP tahap 2. Sekiranya anda menggunakan perkhidmatan e-hailling atau perkhidmatan pengangkutan awam, sentiasa semak jadual perjalanan pengangkutan awam tersebut supaya perjalanan anda lebih lancar dan mudah. Jangan lupa bawa bersama dokumen untuk menyokong perjalanan anda bagi memastikan anda tidak ditangkap dan didakwa oleh pihak berkuasa serta berilah kerjasama sepenuhnya kepada mereka yang bertugas menjaga keselamatan awam.

  1. Minimumkan masa anda di luar rumah dan pulang dengan segera

Pendekkan masa berurusan di luar dan selepas pulang daripada perjalanan, jangan lupa bersihkan diri dan barangan yang dibawa bagi memastikan anda bebas dari sebarang kuman dan virus. Mandi menggunakan sabun adalah cara yang terbaik.

Walaupun dalam tempoh PKP ini perjalanan masih dibenarkan, adalah lebih baik anda duduk di rumah dan jaga kesihatan diri dan keluarga masing-masing. Kekal di lokasi anda berada sekarang dan janganlah mengambil sikap pentingkan diri sendiri dengan pulang ke kampung atau ke mana-mana tanpa alasan yang kukuh. Patuhi arahan kerajaan, kita mampu memutuskan rantaian pandemik ini.

 

 

Oleh :

Prof. Madya Dr. Munzilah Md Rohani & Muhammad Khairul Faiz bin Mat Zen

Pusat Pemanduan Bijak (SDRC), Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Bina, UTHM

 

 

 

 

 

 

Categories
covid-19E-WacanaLatest News

RELATED ARTICLE