Bagaimana keadaan anda di rumah sekarang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini?Harapnya semua berada di dalam situasi yang baik dan persekitaran yang sihat. Berikut saya kongsikan 19 Hikmah PKP untuk renungan kita bersama.

  1. Lebih menghargai Masa

Selalunya kita sibuk dengan pelbagai tugas dan tanggungjawab seharian di pejabat mahupun di rumah. Tempoh PKP yang sangat panjang adalah masa untuk dimanfaatkan dengan sebaik mungkin. Gunakan masa ini dengan melakukan perkara yang berfaedah untuk diri sendiri dan juga orang lain.

  1. Lebih menghargai Diri Sendiri

Walaupun seketika, hargai diri sendiri dengan melakukan hobi dan aktiviti dirumah. Jika mampu boleh juga beri ganjaran pada diri sendiri dan keluarga dengan membeli barang secara online. Inilah masa yang sangat sesuai dan jarang diperolehi sebelum ini untuk menghargai diri sendiri. Diri anda sangat-sangat berharga, jadi hargai dengan sebaiknya.

  1. Lebih menghargai Pasangan Dan Anak-anak

Seharian pasangan dan anak-anak berada di rumah. Suami dapat melihat sendiri bagaimana isteri yang bekerja tanpa henti di rumah dari awal pagi hingga ke malam.  Begitu juga dengan anak-anak yang banyak membantu kerja rutin di rumah dengan mengemas bilik, membuang sampah dan sebagainya. Hargai mereka dengan membuat kejutan membeli makanan atau hadiah. Kita akan dapat melihat bagaimana gembiranya mereka yang sudah agak lama tidak berada di luar rumah, yang tidak pernah berlaku dalam hidup mereka sebelum ini. Hargai mereka dan mereka akan menghargai anda.

  1. Lebih Menghargai Ibu Bapa Dan Adik beradik

Bagi yang masih mempunyai ibu bapa, inilah saat indah dapat berhubung kasih dengan manusia teristimewa walaupun melalui telefon atau panggilan video. Mereka sangat sunyi dan rindukan anak anak serta cucunya. Begitu juga dengan adik beradik yang lain, sebelum ini semuanya sibuk dengan tugas seharian. Ikatan kemesraan dapat disantuni dengan lebih lagi sewaktu tempoh PKP ini, kongsikan cerita dan luahkan apa yang dirasa.

  1. Lebih Menghargai Solat berjemaah Dengan Keluarga.

Bagi yang biasa solat berjemaah di masjid atau surau akan sangat terasa kehilangan suasana ini dengan jemaah lain, bagimanapun ianya digantikan dengan ahli keluarga sendiri yang mungkin kurang dilakukan sebelum ini. Bayangkan anak sulung mengalunkan azan dan anak kedua pula menjadi imam solat dan selesai solat diaminkan doa sekeluarga. Banyak senda gurau terutama telatah si kecil yang baru belajar bersolat. Sangat manis melihat semua telatah dengan pelbagai watak yang tidak diperolehi di luar sana.

  1. Lebih Menghargai Kebersihan Dan Kesihatan

Semua media massa memaparkan betapa penting untuk menjaga kebersihan diri dan keluarga dengan pelbagai cucian tangan, menutup muka dan sebagainya. Hampir semua premis akan mengambil suhu badan sebelum dibenarkan masuk, yang memang tidak pernah berlaku sebelum ini. Pelbagai tips dan nasihat berkaitan kesihatan, makanan sihat termasuk bersenam di rumah diperolehi dengan mudah dan boleh diamalkan untuk kebaikan sekeluarga. Semua pihak sangat mengambil berat soal makanan, kebersihan dan kesihatan termasuk saluran media massa dan media sosial.

  1. Lebih Menghargai Jiran/Sahabat/Kawan

Di taman perumahan atau di kampung semua pihak sangat mengambil berat dan mengambil tahu perkembangan kesihatan jiran masing masing. Begitu juga jika terdapat jiran atau kawan yang dikuarantin, ramai yang bertanya khabar dan menghulurkan tangan bagi membantu. Masing-masing berkongsi aktiviti harian di status media sosial untuk dikongsi bersama.

  1. Lebih menghargai Kerajaan/Majikan

Bagi kakitangan kerajaan termasuk pesara mendapat khabar baik dari kerajaan melalui YAB Perdana Menteri dalam Pakej Rangsangan Ekonomi PRIHATIN yang banyak memberikan imbuhan secara langsung mahupun tidak langsung dan disambut baik oleh pihak majikan. Banyak kemudahan yang diperolehi termasuk penurunan mendadak harga minyak petrol. Secara tidak langsung, status dan perdebatan berkaitan politik dapat dikurang sama sekali.

  1. Lebih Menghargai Doktor, Jururawat Dan Petugas Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)

Perdana Menteri Malaysia dalam ucapannya baru-baru ini memberi setinggi-tinggi penghargaaan kepada petugas KKM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sukarelawan yang menjadi frontliner negara. Mereka telah bekorban masa, tenaga dan nyawa untuk negara. Pelbagai pihak turut menghargai mereka ini dengan pelbagai cara dan dikongsikan juga di media cetak dan juga media sosial. Peranan dan sumbangan mereka terlalu banyak untuk dihitung.

  1. Lebih Menghargai Polis, ATM, Rela Dan Sukarelawan.

Kerap dipaparkan anggota keselamatan seperti polis dan tentera yang berkawal sepanjang tempoh PKP ini telah meperlihatkan sikap profesionalisma yang tinggi walaupun bertugas di bawah hujan dan panas terik melayan karenah pelbagai sikap masyarakat. Banyak juga video tular yang menunjukkan mereka sangat bersabar mendepani rakyat Malaysia yang memujuk rayu dan memberi alasan untuk bergerak.

  1. Peluang Mengeratkan Kasih Sayang Bersama Pasangan Dan Anak-Anak

Semasa tempoh PKP, 24 jam dan tujuh hari seminggu kita perlu berada di rumah seperti yang diperintahkan kecuali dibenarkan keluar untuk urusan penting sahaja. Memberikan tumpuan kepada pasangan dan anak anak, akan dapat melahirkan generasi yang menyayangi kedua ibu bapa. Pasangan juga mempunyai lebih masa bersama dan hubungan menjadi lebih rapat.

  1. Peluang Untuk Azan Dan Bersolat Di Awal Waktu Di Rumah

Waktu biasa agak janggal untuk mengalunkan Azan di rumah, kini telah menjadi rutin hampir setiap rumah orang lslam khasnya yang mempunyai anak. Mereka akan lebih selesa untuk melaungkan azan sebelum menunaikan kewajipan lima waktu. Berada setiap masa di rumah telah memberi peluang untuk kita menunaikan solat di awal waktu. Ambillah peluang PKP ini untuk menyegerakan hak Allah dengan sebaiknya.

  1. Peluang Membaca/Menghafal Quran/Buku

Peluang untuk membaca Al-Quran termasuk menghafal banyak surah-surah penting perlu direbut sepenuhnya oleh warga muslim,lagipun kita bakal menyambut Ramadan bulan mulia tidak berapa lama lagi. Banyak simpanan atau koleksi buku yang tidak habis dibaca, maka inilah saat yang cukup berharga untuk mentelaah buku tersebut. Kempen membaca yang suram boleh diperkasa dalam tempoh ini.

  1. Peluang Memberi Kepada Yang Lebih Memerlukan

Sedia maklum ramai lagi rakyat negara yang perlu dibantu sama ada atas faktor kemiskinan, sakit berpanjangan, kehilangan tempat bergantung atau hilang punca pendapatan. Kita melihat banyak pihak yang tambil membantu sama ada di peringkat komuniti, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mahupun syarikat dan agensi kerajaan. Ambillah peluang ini untuk menyumbang sekadar mampu bagi meringankan beban mereka. Didiklah anak anak dengan sifat bersyukur dengan nikmat yang diperolehi dan menyemai sikap prihatin kepada yang susah.

  1. Peluang Untuk Bersenam/Beriadah Bersama Keluarga Dalam Rumah

Terlalu banyak video berkaitan bersenam di rumah yang boleh diparktikan bersama ahli keluarga. Tiada alasan untuk tidak aktif sewaktu tempoh PKP dijalankan. Tanpa alat senaman juga kita mampu mengeluarkan peluh untuk lebih sihat dan ceria dengan melalukan senaman di rumah. Secara tidak langsung kita akan terus kekal sihat, bertambah sihat dengan aktiviti mudah bersama keluarga dan riang bahagia bersama.

  1. Peluang Untuk Bekerja Dari Rumah Dengan Lebih Kreatif Dan Berinovasi

Sekarang banyak pihak termasuk jabatan kerajaan, syarikat dan sektor pendidikan termasuk universiti dan sekolah yang mengarahkan stafnya bekerja dari rumah. Jika sebelum ini perlu bersemuka untuk mengadakan satu mesyuarat dan kelas, sekarang boleh dijalankan secara maya sahaja. Dengan teknologi yang canggih banyak platform yang boleh digunakan untuk tujuan tersebut untuk membolehkan segala tugasan dan kelas terus berjalan.Tiada alasan untuk tidak menuntut ilmu dalam tempoh ini.

  1. Peluang Untuk Menerokai Bisnes Baharu Dan Menggunakan Aplikasi Online Sepenuhnya

Jika sebelum ini peniaga kecilan menajalankan perniagaan mereka secara kovensional, kini apa kata kita beralih arah kepada konsep berniaga secara online pula. Penggunaan transaksi tanpa tunai semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia melalui aplikasi digital. Secara tidak langsung kadar celik IT dan celik digital terus meningkat dengan cepat.

  1. Peluang Untuk Berjimat/Menabung Dan Menyekat Aliran Tunai.

Dengan penurunan harga minyak, tidak boleh balik kampung serta tidak boleh bercuti ke luar negara, kadar perbelanjaan akan menurun dan lebihan tersebut boleh digunakan untuk menabung. Begitu juga kebanyakan kita tidak perlu membayar pelbagai bayaran tetap seperti ansuran kereta, pinjaman perumahan dan peribadi. Kos liability ini boleh digunakan untuk keperluan lain dan meningkatkan kuasa membeli, yang akan melonjakkan ekonomi negara kelak.

  1. Peluang Untuk Muhasabah Diri

Satu-satu nya peluang spiritual yang penting ialah muhasabah diri untuk memperbaiki diri sendiri, hubungan dengan sesama mahluk, juga hubungan dengan yang Esa. Sangat banyak transformasi yang boleh dilonjakkan semasa dan selepas tempoh PKP. Tepuk dada tanyalah iman masing masing.

Perkongsian ini diharapkan dapat memberikan ruang untuk kita berfikir sejenak, merenung kembali segala nikmat dan hikmah di sebalik ujian dan dugaan yang melanda. Pandemik Covid-19 adalah satu UJIAN dan juga HIKMAH kepada kita.Yang penting duduk di rumah dan ikut saranan kerajaan. Kita mampu putuskan rantaian wabak ini.

 

Oleh:

Profesor Dr. Yusri Yusof

Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM)

 

 

*gambar ehsan google