PAGOH – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) melalui Pusat Pengajian Diploma (PPD) terus menganjurkan program-program berteraskan sains dan teknologi dengan melibatkan masyarakat untuk manfaat bersama.

Terkini, PPD dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri Johor telah menganjurkan program Young Technologist @ School dengan melibatkan penyertaan lebih 300 pelajar sekolah rendah dan menengah dari 38 sekolah seluruh negeri Johor pada 20 Februari lalu bertempat di kampus cawangan Pagoh.

Penganjuran program yang berbentuk pertandingan ini mempertaruhkan empat kategori mengikut jabatan yang ada di PPD.

Jabatan Kejuruteraan Awam menganjurkan pertandingan Young Bridge Modelling Competion, iaitu penghasilan model jambatan dengan konsep teknologi kejuruteraan struktur, yang melibatkan lima sekolah menengah dengan penyertaan 60 pelajar.

Manakala Jabatan Kejuruteraan Elektrik pula menganjurkan pertandingan pengaplikasian kemahiran pemikiran logikal melalui pengaturcaraan arduino untuk robotik yang diberi nama FAST4WARD 2.020: Autonomous Racing Challenge dengan melibatkan192 peserta daripada 23 sekolah rendah.

Sementara itu, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal pula menganjurkan pertandingan yang menggunakan konsep teknologi hidraulic melalui Hydraulic Robotic Arm Competition (HyRAC) melibatkan 50 pelajar daripada lima sekolah rendah.

Jabatan Teknologi Maklumat mengetengahkan kemahiran penggunaan perisian animasi melalui penganjuran Digital Story telling: 2D animation yang membabitkan lima sekolah menengah dengan penyertaan 30 pelajar.

Terdahulu, sebelum pertandingan Young Technologist @ School berlangsung para pensyarah dan pelajar program diploma dari keempat-empat jabatan turut mengadakan Training of Trainers (ToT) kepada guru dan pelajar sekolah yang terlibat melalui program Community Service Responsibility (CSR) dan Knowledge Transfer Programme (KTP) yang dilaksanakan sepanjang tahun 2019 dan awal tahun ini. Penganjuran program Young Technologist @ School ini merupakan pertandingan akhir yang mengumpulkan keseluruhan peserta tersebut.

Majlis perasmian penutup program telah disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Profesor Dr. Mohd Shahir Shamsir Omar. Beliau turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang pertandingan.

Keputusan pertandingan menyaksikan Sekolah Kebangsaan Panchor meraih juara dalam pertandingan Hydraulic Robotic Arm Competition (HyRAC) manakala SMK Dato’ Seri Amar Diraja meraih juara dalam pertandingan Digital Storytelling: 2D animation. Sementara itu, Kolej Vokasional Batu Pahat meraih juara bagi Young Bridge Modelling Competion dan Sekolah Kebangsaan Bandar Rengam pula juara bagi FAST4WARD 2.020: Autonomous Racing Challenge.