Terpanggil dengan cabaran yang dihadapi oleh para petugas Covid-19 di barisan hadapan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menggerakkan satu pasukan sukarelawan yang terdiri daripada staf dan pelajar menggunakan pencetak tiga dimensi (3D) bagi menghasilkan pelindung muka untuk diagihkan kepada petugas Covid-19.

Inisiatif yang bermula sejak 23 Mac lalu berjaya menghasilkan kira-kira 500 unit pelindung muka.Sehingga hari ini, 30 unit telah diedarkan kepada petugas di kampus manakala 200 unit diedarkan kepada pihak Hospital Enche’ Besar Hajjah Khalsom, Kluang pada 25 Mac lalu. Bakinya sebanyak 300 unit pula diagihkan kepada pihak Hospital Sultanah Nora Ismail, Batu Pahat pada 27 Mac ini.

Pengagihan tersebut dibuat oleh sukarelawan pasukan lapangan yang diketuai oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Profesor Dr. Shahruddin Mahzan.

Projek yang digerakkan beberapa hari lalu itu pada mulanya dicetuskan dan dipantau oleh Profesor Madya Dr. Ahmad Jais Alimin yang mewakili Kelab Staf UTHM (KSUTHM), dan kemudiannya dijayakan oleh pasukan lapangan yang diketuai oleh Profesor Madya Dr. Hj Mustaffa Ibrahim.

Menurut Dr. Ahmad Jais, pasukan lapangan ini beroperasi menggunakan konsep berbilang stesen iaitu sebanyak lapan stesen terlibat yang setiap satunya mempunyai sekurang-kurangnya satu mesin pencetak 3D.

“Selepas proses komponen utama siap dibuat di setiap stesen, komponen tersebut akan dihantar ke stesen akhir di bawah kendalian Dr. Mustaffa bagi tujuan pemasangan (assembly), disinfection dan pembungkusan.

“Pembungkusan yang rapi turut dipantau sebelum diserahkan kepada kumpulan sasaran,” katanya.

Turut terlibat dalam projek ini para pensyarah dari beberapa fakulti di UTHM antaranya Dr. Helmy Mustaffa El Bakry, Dr. Mohd Azham Azmi, Ts. Muhammad Shukri Ahmad serta para pelajar yang turut membantu membekalkan bahan tambahan bagi penghasilan pelindung muka ini.

“Pihak kami mewakili universiti ingin menyeru kepada golongan saintis, jurutera dan juruteknologi di seluruh negara untuk turut sama tampil membantu dan menyokong petugas barisan hadapan negara demi menangani penularan pandemik Covid-19,” tambah Dr. Ahmad Jais.

 

Berikut merupakan senarai stesen dan operator:

En. MUHAMMAD HELMI KHAMIS – 2 mesin

Dr. MOHAMMAD AFIF AYOB – 1 mesin

Dr. MOHD AIFAA MOHD ARIFF – 2 mesin

Dr. SIA CHEE KIONG – 1 mesin

En. MUHAMMAD MUZAMMIL NORUDDIN – 1 mesin

En. AZMI MD SALLEH – 2 mesin

Dr. SHAHRUL AZMIR OSMAN – 1 mesin

Dr. MUSTAFFA IBRAHIM –  stesen akhir, 3 mesin