Pengorekan sungai dan laut adalah didefinisikan sebagai proses pengekstrakan sedimen yang dilakukan daripada dasar jasad air, seperti sungai atau laut. Sisa pengorekan sungai dan laut adalah digelar sebagai sedimen korekan. Sedimen didefinisikan sebagai bahan pepejal yang mendap di dasar jasad air. Sedimen terbahagi kepada beberapa jenis termasuk kerikil, pasir, kelodak dan tanah liat. Ia mempunyai ciri-ciri yang berbeza yang boleh dikenalpasti melalui ciri-ciri fizikalnya iaitu jenis, saiz dan sifatnya. Setiap jenis sedimen ini adalah berbeza kerana terdapat perbezaan kawasan dan kedalaman lokasi korekan. Proses pengorekan sungai dan laut adalah terdiri daripada tiga elemen iaitu penggalian di tapak, pengangkutan dan pelupusan dengan menggunakan jentera yang bersesuaian. Tujuan pengorekan sungai dan laut dilakukan adalah pelbagai. Di Malaysia khususnya, pengorekan sungai dan laut dijalankan untuk memastikan laluan air selamat dilayari serta mengawal kejadian banjir.

Pengorekan sungai dan laut adalah penting kerana ia menyumbang secara terus kepada pembangunan ekonomi negara Malaysia. Di Malaysia, pelabuhan kapal pengangkut kontena bersaiz besar yang membawa masuk bahan import ke dalam negara memerlukan pengorekan dijalankan di pelabuhan. Contohnya adalah seperti kapal kontena terbesar di dunia, MSC Oscar dengan kedalaman kapal sedalam 16 meter, yang pernah berlabuh di pelabuhan negara ini. Ini memerlukan proses pengorekan di dalam kawasan pelabuhan yang dijalankan sebelum kapal tersebut berlabuh dengan selamat.

Pengorekan sungai dan laut memberikan kedua-dua impak positif dan negatif terhadap alam sekitar sama ada dalam jangka pendek atau jangka panjang. Impak positif pengorekan sungai dan laut termasuklah meningkatkan ekonomi seperti mewujudkan infrastruktur lebih baik serta merendahkan paras air bagi tujuan mengurangkan risiko banjir. Namun, terdapat impak negatif hasil proses ini iaitu merendahkan kualiti air semasa proses pengorekan berlangsung dan memusnahkan hidupan laut semasa proses pelupusan serta merosakkan nilai estetika lokasi pelupusan.

Pelbagai strategi untuk mengurangkan impak negatif hasil pengorekan sungai dan laut telah diambil oleh negara-negara maju. Sebagai contoh, negara Jepun telah menggunakan semula sedimen korekan yang mana kebanyakan sedimen korekan mereka telah digunakan untuk pelbagai tujuan. Bagaimanapun di Malaysia, kebanyakan sedimen korekan sungai dan laut masih tidak digunakan semula untuk tujuan lain. Sebaliknya, sedimen korekan tersebut dilupuskan sama ada di luar pesisir atau di atas daratan. Sesetengah buangan daripada pengorekan diletak berhampiran tapak pengorekan tanpa rancangan untuk menggunakannya semula. Keadaan ini menunjukkan masih kurang usaha untuk mendorong penggunaan semula sisa pengorekan sungai dan laut.

Oleh itu, strategi pengurusan impak di Malaysia perlu dilaksanakan untuk mengelakkan pembaziran sedimen korekan yang boleh digunakan semula. Pengurusan impak adalah bertujuan untuk kelestarian proses pengorekan sungai dan laut. Pelbagai inisiatif boleh dilakukan bagi mengurus sedimen korekan termasuklah kegunaan berfaedah. Kegunaan berfaedah ertinya mana-mana penggunaan bahan tanpa sisa. Dalam perspektif pengorekan sungai dan laut, ia bermakna guna semula sedimen korekan bagi tujuan yang berguna untuk pihak lain. Pilihan guna semula yang berfaedah adalah seperti menggunakan semula bahan sebagai bahan pembinaan contohnya bata dan agregat.

Industri pembinaan adalah salah satu industri yang menyumbang kepada pembangunan ekonomi di Malaysia. Di kala ini, industri pembinaan di Malaysia terlihat stabil dan terdapat banyak kerja-kerja pembinaan sedang giat dilakukan. Rangkaian penggunaan sedimen korekan adalah luas, daripada projek penebusgunaan hingga kepada bahan pembinaan.  Daripada hasil penyelidikan yang lepas, terdapat beberapa hasil yang jelas menunjukkan bahawa penggunaan sedimen korekan bermanfaat dalam industri pembinaan. Sebagai contoh, penggunaan sedimen korekan dalam pembuatan bata bakar telah terbukti boleh digunakan dalam industri pembinaan. Namun begitu, sedimen yang tercemar perlu dirawat sebelum digunakan bagi mengelakkan sebarang impak kepada pengguna.

Pasir merupakan salah satu bahan mentah yang penting dalam industri pembinaan. Pasir digunakan secara meluas dalam industri pembinaan terutamanya dalam pembuatan bata dan konkrit. Namun, peningkatan harga pasir menunjukkan bahawa permintaan terhadap pasir juga semakin meningkat. Keadaan ini boleh menyebabkan perlombongan pasir secara haram yang tidak terkawal sehingga berlakunya kerosakan alam semula jadi. Walaupun penggunaan pasir tidak boleh dihentikan kerana pasir merupakan salah satu bahan binaan penting, namun penggunaannya boleh dikurangkan dengan menggantikannya dengan bahan-bahan terbuang yang masih berpotensi untuk digunakan, termasuk sedimen korekan.

Banyak sumber baharu bagi bahan-bahan binaan telah diperkenalkan sebelum ini. Salah satu sumber yang berpotensi untuk digunakan secara meluas adalah sisa proses pengorekan sungai dan laut. Penggunaan sedimen korekan sebagai alternatif sumber bahan mentah dalam penghasilan bahan pembinaan boleh menyumbang kepada isu kekurangan sumber asli seperti pasir dalam industri pembinaan. Kewujudan tanah liat, lumpur dan pasir dalam sedimen korekan di Malaysia adalah berpotensi untuk dijadikan bahan mentah dalam penghasilan bata dan konkrit dan memerlukan penyelidikan yang lebih lanjut. Penyelidikan sifat mekanikal dan kimia sedimen korekan membenarkan kegunaan berfaedah terhasil daripadanya. Terdapat beberapa penyelidikan oleh para saintis Malaysia yang meneroka sifat-sifat kejuruteraan sedimen korekan dalam industri pembinaan termasuklah pencirian awal sedimen korekan marin di Semenanjung Malaysia berdasarkan sifat-sifat fizikokimia serta penilaian sifat-sifat fizikal dan komposisi kimia sedimen korekan marin Kuala Perlis, Sungai Bebar dan Sungai Sitiawan sebagai bahan binaan bata. Dengan penyelidikan seperti ini, masalah pembaziran sedimen korekan dapat dikurangkan di samping menjadi alternatif dalam sumber bahan mentah bagi pembuatan bata dan konkrit dan seterusnya dapat membantu kelestarian proses pengorekan sungai dan laut.

Kesimpulannya, pengorekan sungai dan laut adalah penting untuk ekonomi negara Malaysia namun pengurusan impak adalah diperlukan untuk kelestarian prosesnya. Impak pengorekan sungai dan laut boleh dikurangkan melalui penggunaan semula bahan korekan dalam industri pembinaan dan langkah ke arah kelestariannya adalah diperlukan.

 

Penulis: Ts Dr. Norpadzlihatun Manap

(Penulis adalah bekas Jurutera syarikat pengorekan sungai dan laut serta Pensyarah Jabatan Pengurusan Pembinaan, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) yang sedang menjalankan kajian pasca kedoktoran di Imperial College London)