PAGOH – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus komited memperjuangkan isu biodiversiti di Malaysia dengan meneruskan penganjuran acara larian Run For The Wild 2019 buat tahun ketiga berturut-turut.
Acara yang dijayakan dengan kerjasama Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi dan Kolej Kediaman Pagoh 2,UTHM ini disertai oleh hampir 400 peserta dalam kalangan staf, mahasiswa, guru-guru, pelajar sekolah serta komuniti sekitar Bandar Universiti Pagoh. Program ini juga dianjurkan dengan kerjasama Wildlife Conservation Society Malaysia (WCS), yang mana seramai 10 orang wakil WCS yang diketuai Mr. Francis Cheong turut hadir untuk menyertai larian selain mengadakan pameran mengenai konservasi hidupan liar di Malaysia.
Tema unik yang diketengahkan oleh UTHM pada tahun ini ialah #saynotobiopiracy atau #katakantidakpadabiorompak iaitu satu mesej yang menjadi isu penting di negara ini. Ini berikutan wujudnya segelintir penyelidik dan masyarakat yang masih tidak sedar dan mengambil serius mengenai isu ini. Biopiracy atau dikenali sebagai biorompak adalah kegiatan di mana sumber biologi seperti haiwan dan tumbuhan diambil atau dikeluarkan dari sesebuah kawasan tanpa kebenaran untuk digunakan bagi tujuan penyelidikan, pengkomersialan dan sebagainya.
Kegiatan biorompak ini adalah satu kesalahan mengikut Undang-Undang Malaysia di bawah Akta 795 iaitu Akta Akses kepada Sumber Biologi dan Perkongsian Faedah 2017. Akta 795 ini adalah komitmen Malaysia sebagai sebuah negara yang menandatangani beberapa konvensyen antarabangsa, antaranya Konvensyen Kepelbagaian Biologi 1992 dan Protokol Nagoya 2010 untuk mengambil langkah-langkah perundangan, pentadbiran atau polisi, untuk mengawal akses kepada sumber biologi dan perkongsian faedah yang adil dan saksama hasil daripada penggunaan komersial dan penggunaan lain.
Menurut penasihat program, Dr. Muhammad Abdul Latiff Abu Bakar, 30 dari Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, UTHM pemilihan tema mengenai biopiracy ini sememangnya bersesuaian untuk ditonjolkan pada tahun ini.
“Ini berikutan terdapat beberapa laporan mengenai aktiviti penyalahgunaan khazanah alam semulajadi di negara ini oleh pihak yang tidak bertanggungjawab terutamanya melalui aktiviti penyelidikan dan pengkomersialan.
“Jika penyelidik tempatan dan masyarakat memahami bahawa wujudnya undang-undang untuk mengawal akses pada sumber biologi negara, maka kami percaya aktiviti tidak bermoral ini dapat dihentikan,” tambahnya.
Sementara itu, Dekan Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi, Profesor Madya Ts. Dr Mohd Kamarulzaki Mustafa juga turut menyertai larian ini sebagai tanda sokongan beliau terhadap penganjuran program seumpama ini, yang bukan sahaja mampu melatih mahasiswa dalam penganjuran program dan berorganisasi, malah mampu memindahkan ilmu dari universiti kepada masyarakat khususnya isu-isu konservasi hidupan liar di negara ini.
Untuk rekod, UTHM telah menganjurkan Run for The Wild pada tahun 2017 dan 2018 juga dengan kerjasama bersama WCS yang mana program ini dianjurkan dengan objektif untuk mengarusperdanakan kefahaman dan kesedaran konservasi hidupan liar di Malaysia.
Sebanyak RM500.00 juga telah berjaya dikumpul menerusi program ini dan telah disumbangkan kepada WCS untuk membantu usaha mereka yang menjadi salah satu pemegang taruh pada konservasi hidupan liar di Malaysia.