PUTRAJAYA – Penyelidik Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) sekali lagi mencatat rekod tersendiri apabila berjaya menerima anugerah dan pengiktirafan ketika berlangsungnya Majlis Malaysia’s Research Star Award (MRSA) dan Pengiktirafan Jurnal Creme 2019 yang diadakan pada 5 November lalu bertempat Zenith Hotel Putrajaya.
Profesor Madya Dr. Abd Rahman Ahmad dari Fakulti Pengurusan Teknologi Dan Perniagaan (FPTP) telah menerima anugerah MRSA melalui kategori Research and Innovation Excellence, bagi bidang sains sosial. Manakala Profesor Dr. Maizam Alias dari Fakulti Pendidikan Teknikal dan Vokasional pula mewakili UTHM menerima pengiktirafan Jurnal CREAM melalui sebuah jurnal bertajuk “Journal of Technical Education and Training.”
Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi), Profesor Ts. Dr. Ruzairi Abdul Rahim juga turut menerima anugerah MRSA melalui kategori Research and Innovation Excellence, bagi bidang teknologi dan kejuruteraan.
Penyampaian anugerah telah disampaikan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Dato’ Dr. Mohd Gazali Abas. Hadir sama ke majlis tersebut Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi KPM, Datuk Ir. Dr. Siti Hamisah Tapsir.
Anugerah MRSA ini dianjurkan bagi mengiktiraf dan menghargai para penyelidik tempatan atas kejayaan mereka menghasilkan penyelidikan dan menerbitkan penulisan ilmiah berkualiti yang diindeks melalui pangkalan data antarabangsa terkemuka. Pemilihan penerima anugerah dibuat oleh pihak Elsevier dan Clarivate Analytics.