Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Pemangku Raja selaku Pro-Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyempurnakan upacara perasmian akademi penerbangan yang dikenali sebagai Asia Aeronautical Training Academy (AATA) selepas berlangsungnya sidang 1, Istiadat Konvokesyen ke-19 universiti ini, hari ini.

Untuk rekod, UTHM menjadi universiti awam (UA) pertama memiliki akademi penerbangan yang diiktiraf setelah AATA dianugerahkan Sijil Kelulusan (Certificate of Approval) pada 6 September lalu oleh Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), sekali gus menjadikan AATA sebagai Organisasi Latihan Penerbangan Yang Diiktiraf (ATO-FTO) kelima di Malaysia.

Akademi penerbangan yang kini beribu pejabat di kampus induk UTHM Parit Raja merupakan hasil kerjasama pintar yang dijalinkan melalui entiti komersialnya, UTHM Holding Sdn. Bhd. (UHSB) bersama ATAS Aeronautik Sdn. Bhd.
AATA telah diluluskan di bawah Peraturan Penerbangan Awam Malaysia 2016, Peraturan 64 yang menawarkan latihan pelesenan penerbangan antaranya Private Pilot Licence (PPL) for Aeroplane, Commercial Pilot Licence (CPL) for Aeroplane, Airline Transport Pilot Licence (ATPL) Theoretical Knowledge, Instrument Rating for Aeroplane dan Flight Instructor Course for Aeroplane.

Hadir sama menyaksikan upacara perasmian akademi tersebut, Pengerusi Lembaga Pengarah UTHM, Dato’ Dr. Haji Mohd Sofi Haji Osman; Naib Canselor UTHM, Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly; Dekan Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Profesor Madya Dr. Shahruddin Mahzan @ Mohd Zin; Pengetua AATA, Kapten Syaiful ‘Alam Ismail dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic Bank, Firdaus Toh Abdullah.