Pemberian bantuan kebajikan mahasiswa menerusi program Food Bank Siswa Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) diteruskan lagi untuk fasa kedua bagi tahun 2019 yang melibatkan seramai 180 pelajar dalam kalangan keluarga yang berpendapatan B40.
Pengedaran sumbangan berbentuk makanan telah dilaksanakan oleh Pejabat Hal Ehwal Pelajar (PHEP) hari ini di kampus induk dan kampus cawangan Pagoh, yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Afandi Ahmad. Turut serta dalam tugasan tersebut Pengarah Pejabat Hal Ehwal Pelajar, Puan Hawa Omar, Pegawai-pegawai PHEP, Majlis Perwakilan Pelajar dan Jawatankuasa Protem Gerakan Pengguna Mahasiswa UTHM.
Untuk rekod, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sebelum ini menyasarkan 20,000 mahasiswa dalam keluarga berpendapatan 40 peratus terendah (B40) menerima bantuan menerusi program Food Bank Siswa Malaysia menjelang hujung tahun ini.
Dalam memastikan program bantuan ini dapat berjalan dengan lancar, PHEP selaku pengelola program amat mengalu-alukan sumbangan dari mana-mana pihak yang bermurah hati untuk menderma kepada Food Bank Siswa UTHM.