Batu Pahat, 21 Okt – Bersesuaian dengan tema “Universiti Untuk Masyarakat”, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi projek “Misi Kemanusiaan Syria dan Palestin: UTHM Prihatin” telah menyumbang dana berjumlah RM22,741.10 kepada dua komuniti antarabangsa hasil daripada aktiviti Corporat Social Responsibility (CSR) yang dilaksanakan.

Jumlah tersebut berjaya terkumpul sehingga tarikh 20 Oktober lalu bersempena penganjuran Festival Konvokesyen 2019 (FESTKON’19). Dana ini akan disalurkan kepada komuniti Syria menerusi Syria Care dan kepada komuniti Palestin menerusi Aman Palestin Berhad. Simbolik penyerahan mock cheque telah disampaikan oleh Profesor Datuk Ts. Dr. Wahid Razzaly, Naib Canselor UTHM kepada wakil-wakilnya ketika berlangsungnya Majlis Penutup Festkon’19 pada 21 Oktober lalu.

Untuk rekod, pada Festival Konvokesyen tahun 2018 lalu, sebanyak RM22,276.45 telah berjaya dikumpulkan untuk misi kemanusiaan yang sama. Ini menjadikan nilai terkumpul bagi projek misi kemanusiaan untuk dua komuniti ini berjumlah RM45,017.55.

Pengerusi Jawatankuasa Festival Konvokesyen 2019, Puan Hawa Omar berkata UTHM amat berbesar dapat menunaikan tanggungjawab sosial kepada dua komuniti antarabangsa yang memerlukan bantuan, ihsan dan perhatian dunia.

“Dengan adanya sumbangan seumpama ini diharapkan dapat memberi manfaat serta meringankan beban dan penderitaan rakyat Syria dan Palestin sekali gus berupaya memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan warga universiti dalam mensyukuri nikmat keamanan yang dikecapi,” katanya.

Tambah beliau, Jawatankuasa FESKON’19 UTHM selaku Sekretariat bagi misi kemanusiaan turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan jutaan terima kasih kepada semua penderma budiman yang terdiri daripada warga kerja universiti, syarikat-syarikat dan individu-individu perseorangan.

“Pihak kami juga ingin mengucapkan tahniah kepada Jawatankuasa Projek Khas FESTKON’19 yang diketuai oleh Puan Maizatul Fahimah Miskan dan pasukan, serta mahasiswa dari Sekretariat Rakan Muda UTHM yang berkerja keras menjayakan misi kemanusiaan ini,” katanya.