Bersempena dengan Minggu Sains Negara 2019 peringkat Negeri Johor yang diadakan pada 3 dan 4 Ogos lalu, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyahut seruan untuk turut sama menyertai kempen kesedaran melalui penganjuran karnival yang bertemakan ‘Sains untuk Kesejahteraan’ bagi memupuk kecintaan masyarakat terhadap bidang sains.

Fakulti Sains Gunaan dan Teknologi (FAST), UTHM merupakan salah satu fakulti yang menyertai karnival tersebut sebagai pempamer selain turut mengadakan program bersama pengunjung iaitu ‘Satelit’ yang berlangsung di Dewan Orang Ramai, Parit Raja, Batu Pahat.

Turut menyertai gerai pameran karnival tersebut, beberapa fakulti lain termasuk Jabatan Aeronautik, Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FKMP) yang mempamerkan “flight simulator.’ Pameran ini mendapat perhatian ramai pengunjung yang hadir untuk merasai situasi sebenar berada di dalam kokpit pesawat sambil menerokai apa yang ada di dalamnya. Di samping itu, beberapa tapak pameran UTHM lain turut memaparkan hasil kajian penyelidik dan juga penganjuran aktiviti berkaitan STEM.

Karnival ini disempurnakan oleh Exco Pendidikan Negeri Johor, YB Aminolhuda Hassan selaku wakil rasmi Menteri Besar Johor. Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC), Dr. Mohd Nor Azman Hassan dan Ketua Pegawai Eksekutif Akademi Sains Malaysia (ASM), Hazami Habib.

Program Satelit sempena Minggu Sains Negara 2019 telah dilaksanakan oleh FAST dengan beberapa aktiviti yang telah disusun bermula pada 3 hingga 8 Ogos lalu. Antara program yang mendapat sambutan yang sangat baik ialah program ‘Scientist at School’ yang melibatkan para pelajar peringkat sekolah menengah di daerah Muar. Sebagai persediaan, sebanyak 13 tajuk ceramah telah disediakan untuk dipilih oleh sekolah yang terlibat. Oleh kerana fakulti ini berada di UTHM Kampus Cawangan Pagoh, maka sekolah-sekolah di daerah Muar menjadi keutamaan dengan bantuan dan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah.

Program ‘Scientist at School’ adalah mirip kepada ‘Professor at School’ yang mana para saintis atau pensyarah fakulti akan menyampaikan ceramah yang berkaitan bidang kepakaran masing-masing kepada pelajar sekolah. Dengan cara ini ilmu dan kepakaran pensyarah tidak hanya disebarkan di bilik kuliah malah masyarakat setempat juga mendapat manfaat daripada kewujudan universiti di kawasan terlibat. Secara tidak langsung, penganjuran program sebegini dapat merapatkan lagi hubungan antara universiti dan pensyarah dengan para pelajar di luar sana terutama berkaitan kepentingan ilmu Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dan aplikasinya.

Turut diadakan sepanjang minggu tersebut adalah hari terbuka makmal-makmal FAST, program Sains Herba, Pertunjukkan Sains dan Teknologi dan program ‘Summer’ di kampus UTHM. Seramai kira-kira 2300 pelajar sekolah telah menyertai aktiviti-aktiviti yang dianjurkan ini.