Sebanyak 22 ekor lembu ditumbangkan melalui program Ibadah Korban dan Aqiqah peringkat antarabangsa yang berlangsung pada 13 hingga 15 Ogos lalu bertempat di Kampong Chhnang, Kemboja.
Program anjuran Pusat Islam, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ini telah dilaksanakan oleh tujuh sukarelawan dari pelbagai agensi dan orang perseorangan yang diketuai Ustaz Mohamad Shahrir Abdul Mutalib, Imam Masjid UTHM.
Selain melaksanakan Ibadah korban dan aqiqah, beberapa aktiviti lain turut diatur sepanjang tiga hari program berlangsung termasuk aktiviti menziarahi perkampungan umat Islam, menyertai majlis tahnik dan majlis sumbangan wakaf, zakat dan infaq.
Pada hari pertama para sukarelawan melakukan sembelihan dua ekor lembu serta menyampaikan sumbangan kepada asnaf yang memerlukan di Kampong Chhnang.
Manakala pada hari kedua pula, sebanyak 20 ekor lembu ditumbangkan secara bergotong royong bersama penduduk kampung bagi menyempurnakan ibadah korban dan aqiqah. Daging korban dan aqiqah tersebut dijadikan jamuan untuk penduduk kampong Chhnang dan kampung-kampung lain di sekitarnya. Turut hadir ke jamuan tersebut pegawai-pegawai kerajaan Kemboja dan pihak berkuasa tempatan.
Selain menyempurnakan ibadah korban, para sukarelawan terlibat turut menziarahi dan menyantuni penduduk sekitar serta menyampaikan sumbangan kepada asnaf serta golongan fakir dan miskin.
Selain itu, peserta sukarelawan turut dibawa ke masjid utama di Kemboja iaitu Masjid Al-Serkal yang terletak di bahagian utara Pusat Bandar Phnom Pehn. Untuk rekod, masjid yang dibuka pada tahun 1968 ini dibina hasil daripada wakaf oleh keluarga Al Serkal dari United Arab Emirates. Masjid tersebut telah dibangunkan semula oleh kerajaan United Arab Emirates dan dibuka kepada umum tahun 2014. Sehingga kini, masjid tersebut menjadi salah satu tarikan umat islam dan para pelancong dari seluruh dunia.
Menurut salah seorang peserta misi, Mohd Azizi Shamsudin program ini telah memberi impak yang besar dan bermanfaat kepada hubungan kerjasama dua hala antara Malaysia dan Kemboja.
“Sumbangan daripada semua pihak sama ada berupa wang tunai atau barangan diuruskan dengan sebaiknya oleh para sukarelawan yang terlibat dalam misi kemanusiaan tersebut.
“Kami mewakili pihak universiti mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua para penyumbang dan pewakaf yang menjayakan ibadah korban dan aqiqah ini serta semua yang terlibat sama ada secara langsung dan tidak langsung,” tambahnya lagi.