BATU PAHAT – Sebanyak 83 sekolah dari seluruh negeri Johor menyahut cabaran menyertai Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) peringkat negeri Johor yang berlangsung selama tiga hari di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) pada 16 hingga 18 Julai lalu bertempat di Dewan Peperiksaan Blok F2, kampus induk.

Pertandingan anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah kelolaan Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ),  Pejabat Pelajaran Daerah Batu Pahat dan Sasbadi Holdings Berhad dengan kerjasama Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik (FKEE), UTHM ini berlangsung dengan meriah apabila sebanyak 251 pasukan yang terdiri daripada 753 murid dan 251 mentor telah menyertai pertandingan ini bagi mempamer dan mempertaruhkan produk masing-masing.

Pertandingan ini diadakan bertujuan untuk memupuk minat dan meningkatkan pemahaman murid-murid sekolah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) selain untuk mencari pelapis kepada pasukan terbaik bagi mewakili negeri Johor ke pertandingan peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Penganjuran ini juga untuk memberi peluang kepada murid-murid sekolah mengembangkan bakat dan kreativiti masing-masing dalam bidang elektrik dan elektronik melalui penciptaan robotik.

Selain itu, UTHM menyambut baik tawaran sebagai tuan rumah untuk pertandingan kali ini bagi menjalinkan hubungan yang baik dengan JPNJ sekali gus menyahut hasrat KPM yang inginkan universiti awam (UA) berperanan sebagai “Universiti Untuk Masyarakat.”

Lima kategori telah dipertaruhkan dalam pertandingan ini iaitu Kategori Regular (Pro & Rookie), Kategori WeDo Regular, Kategori Reka Cipta & Inovasi STEM (Vertical Limit), Kategori Open (Tema: Smart Cities) dan Kategori NRC Football.

Untuk rekod, UTHM sebelum ini telah menjadi tuan rumah untuk Pertandingan Robotik Kebangsaan (NRC) Peringkat Negeri Johor sebanyak empat kali sejak tahun 2013.