BATU PAHAT, 13 April – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) terus memainkan peranannya sebagai universiti untuk masyarakat dengan menganjurkan pelbagai program kemasyarakatan melibatkan komuniti setempat.
Terbaru, Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) dengan kerjasama SMK Dato’ Sulaiman, Parit Sulong, Batu Pahat, Johor dan SWCorp Cawangan Batu Pahat telah mengadakan satu Program Khidmat komuniti bertajuk “Kami Tahu, Kami Peduli, Kami Buat!.”
Program bertemakan Kempen Kesedaran Alam Sekitar ini diadakan selaras dengan kehendak Pergerakan STEM Kebangsaan (National STEM Movement) yang menekankan penyebaran informasi berunsur Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) bagi meningkatkan lagi kecenderungan dan kefahaman pelajar sekolah terhadap bidang ini.
Program tahunan kali kedua anjuran kursus Alam Sekitar dan Pemuliharaan, FTK di bawah penyeliaan Profesor Madya Dr. Nor Haslina Hashim ini melibatkan kira-kira 320 orang peserta terdiri daripada pelajar sekolah, guru, mahasiswa dan staf FTK. Hadir sama ke sekolah terbabit Dekan FTK, Profesr Madya Ts Amran Mohd Zaid sekali gus menyempurnakan upacara perasmian yang diadakan pada hari yang sama.
Menurut Nor Haslina, program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila program Karnival STEM peringkat sekolah turut diadakan serentak pada minggu tersebut. Selain penganjuran dua slot ceramah, program turut dimeriahkan dengan aktiviti pameran berunsurkan alam sekitar dan pemuliharaan oleh penuntut FTK. Sebanyak lapan stesen pameran yang sarat dengan maklumat dan aktiviti bertemakan STEM turut disediakan kepada pelajar dan pelawat. Pameran-pameran ini turut diadili oleh tiga orang panel bagi menyempurnakan penilaian projek bagi kursus terbabit.
Turut diadakan pameran robotik oleh kumpulan penuntut tahun akhir jurusan automasi industri/pembuatan FTK di bawah selian Ts. Dr. Amirul Shafiq Sadun. Kumpulan yang pernah memperolehi tempat ke-empat pertandingan Combat Robot Malaysia dan tempat ke-lima bagi Robocon Malaysia peringkat kebangsaan ini berjaya mendapat perhatian pelajar sekolah apabila mereka menunjukkan minat yang tinggi terhadap robot-robot kecil dan robot tempur yang dipamerkan.
Sementara itu, satu demonstrasi pembuatan kompos juga telah diadakan oleh pihak SWCorp khusus untuk murid-murid, guru sekolah dan juga mahasiswa FTK. Demonstrasi ini menunjukkan bagaimana pembuatan kompos menggunakan kaedah Takakura dapat membantu pengkomposan sisa makanan yang merupakan antara penyumbang sisa terbanyak di Malaysia.
Tambahnya lagi, bersempena dengan penganjuran program ini juga, Minggu Pengumpulan Bahan Kitar Semula turut dilancarkan oleh pihak sekolah. Terdahulu, pihak sekolah terbabit berjaya mengumpul sebanyak 440kg kertas, 45kg botol plastik, 3kg tin aluminum dan 39kg besi atas hasil usaha para pelajarnya. Bahan kitar semula tersebut diserahkan kepada pihak Pengurusan Sisa Pejal cawangan Muar dan hasil tukaran berjumlah RM170 terus dimasukkan ke dalam tabung sekolah.
“Penganjuran program ini diharap dapat meningkatkan lagi kesedaran berkaitan kepentingan penjagaan alam sekitar di samping meningkatkan lagi minat pelajar-pelajar sekolah terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik.
“Jalinan kerjasama ini diharap dapat mengeratkan lagi hubungan antara universiti,masyarakat dan pihak industri sekali gus memberi nilai tambah kepada penuntut UTHM dan pelajar-pelajar sekolah melalui interaksi dua hala,” katanya.