Pernah bergelar banduan satu ketika dahulu menjadikan hidup Ameng Spring atau nama sebenarnya Wan Aminuddin Wan Ismail penuh dengan pengalaman suka duka yang bersilih ganti.
Bagi menceritakan pengalamannya sepanjang menjalani hukuman penjara, vokalis kumpulan Spring ini telah menulis sebuah buku bertajuk “Ameng : Epilog Tirai Keinsafan” dan melancarkannya pada 3 Mac lalu.
Buku yang diterbitkan oleh Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) setebal 102 muka surat itu ditulis ketika beliau berada di Penjara Kluang, Johor selepas didapati bersalah dalam kes penyalahgunaan dadah.
“Pada mulanya saya menulis sekadar untuk dijadikan rujukan diri sendiri agar tidak mengulangi kesilapan yang sama sekali gus menjadi insan yang lebih baik.
“Saya tidak menyangka pihak Penerbit, UTHM berminat untuk menerbitkan buku tersebut untuk dijadikan tauladan kepada masyarakat terutamanya golongan muda.
“Ketika berada di penjara, saya turut merakamkan album berjudul “3 Penjuru” yang memuatkan enam lagu ciptaan sendiri,” tambahnya lagi.
Pelancaran buku ini diadakan sempena berlangsungnya Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL). Hadir sama ke majlis tersebut Pengarah Penerbit, Profesor Madya Ts. Dr. Amir Khalid dan Ketua Jabatan Penerbitan, Dr. Akmal Nizam Mohamed.