BANGKOK – Tuah kolaborasi antara Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Dr. Nofaiza Fuad (Ketua Penyelidik) dengan Kolej Poly-Tech Mara Batu Pahat serta Universiti Teknologi MARA (UiTM) membuahkan hasil apabila dinobat sebagai penerima ‘ASEAN Outstanding Invention and Innovation Awards’ dengan projek Development Of A 3D EEG Feature Extraction For Brain Balanced Index (BBI) Using Artificial Neural Network (ANN), sekali gus menewaskan 600 peserta dari seluruh dunia dalam pertandingan Bangkok International Intelectual Property, Invention, Innovation and Technology Exposition (IPITEX2019).
Pertandingan anjuran National Research Council of Thailand bertempat di Bangkok International Trade and Exhibition (BITeX) yang berlangsung pada 2 hingga 6 Februari lalu disertai oleh 25 negara terdiri daripada negara-negara maju dan membangun seperti Thailand, Taiwan, China, Iran, Singapura, Romania, Indonesia, Sri Lanka, Hong Kong, Korea, Rusia, Poland, Makao dan Sudan.
Menurut Dr. Norfaiza, hasil inovasi ini merupakan pembangunan algorithma dan sistem yang mengesan corak gelombang otak manusia dengan menggunakan metodologi Brain Balance Index dan Artificial Neural Network (ANN). Pembangunan algoritma adalah asas kepada mana-mana aplikasi yang menggunakan corak gelombang otak. Antara aplikasi penggunaan ini adalah untuk mengesan beberapa parameter dalam potensi perkembangan insan.
Pertandingan tersebut turut menyaksikan pasukan UTHM berjaya merangkul dua anugerah emas dan satu perak. Dr. Norfaiza berjaya merangkul pingat emas bagi projek ‘Development of 3D EEG Feature Extraction for Brain Balanced Index using Artificial Intelligent’ dan pingat emas bagi projek bertajuk ‘MySign: A wireless wearable sign language translator device’ yang diketuai oleh Dr. Radzi Ambar dari FKEE. Manakala pingat perak pula dirangkul oleh Mohd Helmy Abd Wahab juga dari FKEE bagi projek ‘Portable Dwi Switch Home Electrical Appliances Control System using Mobile Apps for Elderly and Disabled People.’
Tambah Dr. Norfaiza sebagai ketua kontigen UTHM, kejayaan sebagai penerima ASEAN Outstanding award adalah satu pencapaian terbesar untuk permulaan tahun 2019 ini kerana UTHM merupakan wakil tunggal daripada Malaysia yang menerima anugerah khas tersebut.
“Anugerah ini diharapkan dapat memberi motivasi kepada kami selaku penyelidik untuk terus berinovasi walaupun tugas mengajar tetap menjadi keutamaan.”
“Kejayaan ini adalah kejayaan bersama dan akan menaikkan lagi semangat kami untuk sentiasa kreatif dalam berinovasi,” katanya lagi.
Untuk rekod, pertandingan ini bertujuan menghimpunkan para pencipta dari seluruh dunia dengan informasi komprehensif dalam penciptaan secara komersil, maklumat paten dan pemindahan teknologi. Sasaran pertandingan ini adalah kepada pihak pengeluar, pencipta, pengedar, firma perlesenan dan sektor pendidikan yang mengetengahkan hasil penyelidikan dan inovasi.