BATU PAHAT – Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerima sumbangan endowmen buat kali dua daripada SWIDWEB Solutions bernilai RM1,000.00 dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Pejabat Penolong Naib Canselor (Kelestarian Kewangan), kampus induk.

Pemberian daripada syarikat SWIDWEB ini merupakan sumbangan endowmen pertama bagi tahun 2019 ini.

Untuk rekod, SWIDWEB Solutions merupakan sebuah syarikat terbitan UTHM yang telah diluluskan pada tahun 2016. Syarikat ini diterajui oleh Profesor Madya Dr. Noor Yasmin Zainun selaku pengarah bersama tiga orang ahli iaitu Profesor Dr. Ismail Abdul Rahman, Profesor Madya Dr. Munzilah Md Rohani dan Sr. Saifullizan Mohd Bukari.

Pada 17 Mei 2017, syarikat ini telah memperolehi Sijil Akuan Pendaftaran Syarikat dan Sijil Akuan Pendaftaran Syarikat Bumiputera di bawah Kementerian Kewangan Malaysia.

Nama syarikat diambil sempena nama produk kajian pertama yang telah berjaya dikomersialkan iaitu SWID (Solid Waste Illegal Dumping) Web. Selain daripada SWID Web, syarikat ini mempunyai beberapa produk lain termasuk SWID Apps, Smart DRV (Smart Driving Tool), HDeP (Housing Demand Predictor), 2M recycle bin (outdoor recycle bin) dan indoor recycle bin yang terdiri daripada CyB3, 4Bin close dan 4Bin open.

Selain daripada memasarkan produk kajian, SWIDWEB Solutions juga turut menjalankan kerja-kerja uji kaji, pembekalan data kajian dan kerja-kerja sampingan lain.

Menurut Pengarah Pusat Endowmen dan Wakaf, Profesor Sr. Dr. Wan Zahari Wan Yusoff pihak universiti amat berterima kasih dan berbesar hati menerima sumbangan kali kedua ini daripada pihak SWIDWEB.

“Diharap sumbangan ini akan menjadi cetusan inspirasi kepada syarikat terbitan universiti yang lain untuk turut sama menyumbang,” katanya.