Pic 2PAGOH – Bengkel Penulisan dan Penerbitan Kertas Jurnal Saintifik anjuran UcMM Konsortium Sdn. Bhd. telah berjalan secara serentak di dua universiti awam iaitu Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dan Universiti Putra Malaysia (UPM) selama tiga hari bermula 22 hingga 24 Januari lalu.

Seramai 41 orang perunding dari UTHM dan UPM, serta 49 orang peserta dari beberapa buah universiti di Indonesia telah terlibat dalam bengkel antarabangsa yang pertama kali dianjurkann oleh UcMM Konsortium Sdn. Bhd. yang berpangkalan di Pusat Perniagaan Presint Sarjana Bandar Universiti Pagoh, Muar, Johor.

Bengkel yang diselaraskan oleh Pensyarah tersohor UTHM, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh Dalimin diadakan bertujuan untuk membantu ahli-ahli akademik dari Indonesia menerbitkan hasil-hasil kajian mereka melalui penerbit-penerbit jurnal yang diindeks Scopus agar hasil kajian mereka lebih terserlah di peringkat antarabangsa.

Pic 4Di peringkat UTHM kampus cawangan Pagoh, seramai lima orang perunding yang diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Mohd Fadzelly Abu Bakar telah membimbing enam orang peserta dari Universitas Galuh dan Universitas Muhammadiyah yang mempunyai latar belakang bidang yang berbeza contohnya farmasi, matematik, pendidikan dan sains tanah.

Antara pengisian bengkel tersebut ialah penyampaian kuliah berkenaan pengenalan kepada dunia penulisan dan penerbitan oleh Dr. Suliadi Firdaus Sufahani, diikuti dengan sesi perundingan yang turut disertai oleh tiga orang perunding lain iaitu Dr. Faridah Kormin, Dr. Mohd Asrul Affendi  Abdullah dan Dr. Kamarul Rahim Kamarudin.

Sementara itu, Profesor Datuk Dr. Mohd Noh dan Prof. Madya Ts. Dr. Mohd Fadzelly juga telah mengendalikan beberapa sesi perkongsian dan soal jawab sepanjang bengkel tersebut berlangsung untuk meningkatkan kefahaman para peserta tentang proses penerbitan yang berkaitan pengindeksan oleh Scopus.

Pic 3Sebanyak 12 kertas jurnal saintifik telah disemak oleh para perunding dan kira-kira enam kertas jurnal telah terpilih untuk dihantar ke beberapa penerbit jurnal saintifik yang diindeks oleh Scopus menjelang hari terakhir bengkel tersebut. Walaupun bengkel ini telah berakhir tetapi sesi perundingan akan diteruskan oleh para perunding dalam usaha membantu para peserta mencapai misi menerbitkan sekurang-kurangnya separuh daripada kertas-kertas jurnal tersebut dalam jurnal saintifik yang diindeks oleh Scopus.

Pihak UTHM dan UcMM Konsortium Sdn. Bhd. berharap program perundingan seperti ini dapat diteruskan pada tahun-tahun akan datang dan dapat dijadikan sebagai salah satu usaha untuk memperkukuhkan lagi hubungan baik yang sedia terjalin antara UTHM khususnya dengan universiti-universiti di Indonesia seperti Universitas Galuh dan Universitas Muhammadiyah.