Fakulti Kejuruteraan Awam dan Alam Sekitar (FKAAS), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menganjurkan persidangan antarabangsa International Symposium of Civil Engineering and Environmental Engineering (ISCEE 2018) kali ke-2 bertempat di Hotel Federal, Kuala Lumpur pada 3 dan 4 Disember lalu.
Empat pusat penyelidikan di bawah FKAAS iaitu Jamilus Research Center for Sustainable Construction (JRC), Micropollutant Research Center (MPRC), Smart Driving Research Center (SDRC) dan Center of Applied Geomatics for Disaster Prevention (CAGeD) bertindak sebagai penggerak utama persidangan ini yang diketuai oleh Profesor Madya Ts. Dr. Norzila Othman.
Persidangan ini turut mendapat kerjasama daripada Universitas Narotama Surabaya, Universitas Negeri Surabaya, Universitas Kadiri, Universitas Muhammadiyah Yogyakarta and Politeknik Negeri Malang.
Bertemakan Enriching Communities through Sustainable Eengineering, tiga pakar telah dijemput untuk menyampaikan ucaptama dalam persidangan ini iaitu Ir. Dr. Zuhairi Abd Hamid dari Institut Penyelidikan Pembinaan Malaysia (CREAM), Profesor Dr. Mohd Idrus Mohd Masirin dari Pusat Penyelidikan Tanah Lembut (RECESS), UTHM dan Profesor Madya Ir. Dr. Azman Kasim dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Menurut Norzila persidangan ini menjadi platform kepada para penyelidik dan ahli akademik untuk berkongsi ilmu dan kemahiran dalam bidang masing-masing.
Tambah beliau lagi, sebanyak 122 kertas kerja kajian penyelidikan dari Malaysia dan 40 kertas kerja penyelidikan dari luar negara telah dibentangkan di bawah tiga kategori utama iaitu International Conference on Sustainable Construction and Structures (ISUCOS 2018), International Conference on Sustainable Environment and Water Research (ISCWER 2018) dan International Conference on Sustainable Infrastructure Engineering (ISCIE 2018).
Persidangan ini telah dihadiri oleh peserta dari dalam dan luar negara seperti Indonesia, Nigeria, Australia, Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Saudi Arabia dan Mesir. Dekan FKAAS, Profesor Madya Ts. Dr Abdul Halid Abdullah telah menyempurnakan majlis perasmian ISCEE 2018 yang diadakan pada 4 Disember lalu.