TANGKAK – Kursus Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) di bawah Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia telah menarik 80 peserta untuk mengikuti program The Future is in You yang diadakan di Kolej Matrikulasi Johor, Tangkak pada 17 November lalu.
Program yang disertai oleh para pelajar Kolej Matrikulasi Johor ini bertujuan untuk membina kemahiran insaniah dalam kalangan mahasiswa UTHM melalui penglibatan program luar yang dikendalikan sepenuhnya oleh 20 ahli Pembimbing Rakan Sebaya universiti itu.
Program ini juga dirangka untuk memberi pendedahan kepada para peserta berkaitan hala tuju masing-masing dalam membentuk masa depan yang lebih gemilang. Di samping itu, penganjuran program ini juga bagi memberi pendedahan kepada para pelajar UTHM mengenai peranan mereka sebagai agen penggerak dalam kerja-kerja kesukarelawan.
Pelbagai slot aktiviti telah dijalankan sepanjang program berlangsung antaranya ‘Perkongsian Motivasi dan Pengalaman’ oleh pelajar UTHM, saudara Mohd Rezza.
Perkongsian ini adalah bagi membuka minda para peserta mengenali kehidupan kampus selain membincangkan persediaan yang perlu dilakukan oleh mereka untuk menjadi sebahagian daripada warga universiti.
Turut diadakan, ‘The Youth Motivator Challenge’ bertujuan untuk mencungkil bakat para peserta ke arah pengucapan awam yang berkesan berdasarkan tema yang berunsurkan motivasi.
Setiap aktiviti yang dijalankan mendapat sambutan menggalakkan daripada para peserta dan mereka turut mengharapkan program seumpama ini diteruskan lagi pada masa akan datang.
Menurut peserta Alfian Noor Firdaus, program ini dapat membantu dirinya mendekati dan mengenali kehidupan di universiti sekali gus dapat memberi suntikan motivasi kepadanya untuk menjadi pelajar yang lebih cemerlang.
Untuk rekod, program seumpama ini merupakan program University Community Engagement (UCE) yang wajib dilaksanakan oleh para pelajar kursus kokurikulum berkredit sebagai inisiatif ke arah mendekatkan mahasiswa dengan masyarakat melalui program-program kesukarelawanan.