Kuala Lumpur – Bagi menyelesaikan isu-isu perbandaran yang berlaku di Malaysia dan menjana idea bagi membentuk satu bandar yang mampan dari segi ekonomi, sosial dan persekitaran pada 100 tahun akan datang, satu bengkel berkaitan Program 100 Tahun Bandar Malaysia peringkat Kebangsaan telah diadakan pada 8 dan 9 Oktober lalu bertempat di Universiti Malaya.

Seramai 23 orang pelajar dari Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan (FPTP), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia bersama beberapa pensyarah telah terpilih untuk menyertai bengkel ini selain penyertaan daripada 11 universiti awam dan swasta yang dipilih melalui kriteria tertentu.

Setiap universiti telah ditugaskan untuk membentang projek-projek yang diusahakan di hadapan panel yang telah dilantik. Antara kriteria yang dinilai dalam perbentangan tersebut termasuklah keaslian, menepati objektif, boleh dilaksanakan dan mempunyai keunikan.

Kumpulan peserta dari FPTP telah mengetengahkan  konsep ‘Circular Economy” dan “Technology Integration into One System” yang menggunakan teknologi “Artificial Intelligence Traffic System”, “Automation Underground Waste Management dan “3-D printed houses using 100% recycle materials.” Mereka telah menggabungkan kesemua teknologi  tersebut ke dalam satu sistem integrasi.

Menariknya kumpulan ini berjaya menjadi kumpulan terbaik daripada keseluruhan 11 universiti yang menyertai bengkel tersebut sehingga diberi penghormatan untuk membentangkan projek yang diusahakan kepada Ketua Setiausaha KPKT, Dato’ Sri Mohammad Mantek.

Idea yang dibentangkan terus mendapat pujian daripada kumpulan peserta dan juga Dato’ Sri Mohammad sekali gus menarik perhatian Urbanice Malaysia untuk menjadikan idea  tersebut sebagai penanda aras kepada universiti-universiti lain.

Selain pembentangan, program anjuran pihak Urbanice Malaysia dengan kerjasama Nextdoor, United Nation Urban Habitat dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ini diisi dengan sesi perkongsian “Sustainable Future Cities” oleh duta Belanda ke Malaysia, Excellencies Karin Mossenlechner, “4th Industrial Revolution” oleh Microsoft Malaysia, dan “Urban Mobility” oleh wakil TM One. Peserta program juga turut diberi peluang untuk berdiskusi dengan pakar-pakar dari pelbagai latar belakang.

Untuk rekod, bengkel seumpama ini akan diteruskan lagi pada 6 Disember akan datang bertempat di Taylor University.