PUTRAJAYA, 26 Sept – Pelajar Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Muhammad Nor Iman (dua dari kanan belakang) antara 10 pemenang terbaik yang terpilih untuk mengikuti program Huawei Malaysia Seeds for The Future 2018.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Huawei Malaysia, Baker Zhou 10 pemenang yang dipilih ini adalah yang terbaik “best of the best” daripada lebih 1,100 pelajar seluruh Malaysia yang memohon dan calon yang terpilih sebagai duta Huawei Malaysia berkemungkinan akan mendapat tawaran pekerjaan di Huawei.
Tambah beliau lagi program ini ditaja sepenuhnya oleh Huawei yang mana semua peserta yang terpilih diberi peluang untuk menimba pengalaman bekerja secara komprehensif sekali gus mempelajari kebudayaan di Beijing dan di Ibu Pejabat Huawei yang terletak di Shenzhen, China.
Program ini akan mengumpul pelajar dari lebih 108 negara di seluruh dunia ke China selama dua minggu bermula pada 12 Oktober sehingga 27 Oktober akan datang. Sepanjang tempoh itu, peserta akan mempelajari kebudayaan China seperti tulisan kaligrafi, bahasa Mandarin, melawat Great Wall of China serta mempelajari teknologi Huawei seperti teknologi Cloud, 5G, dan Internet Of Things.
Untuk rekod, Nor Iman merupakan generasi keempat yang terpilih dari UTHM dan merupakan generasi yang kelima sejak program ini bermula pada tahun 2014.
Program ini diadakan bertujuan mendedahkan pelajar tentang persekitaran pekerjaan secara langsung di ibu pejabat Huawei serta untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam teknologi ICT dengan harapan program ini dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran pelajar dan sebagai persediaan kepada mereka menghadapi alam pekerjaan kelak.